DUN Sabah: ADUN minta lima jaminan sebelum sokong penuh RUU Pewarisan Orang Islam

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah diminta memberikan lima jaminan bagi memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah benar-benar berkesan apabila dilaksanakan.
Jamil Hamzah (Warisan-Bugaya) berkata, walaupun menyokong matlamat RUU itu, beliau mahu kerajaan memberi jaminan bahawa undang-undang berkenaan sah apabila dicabar di mahkamah, jelas apabila ditafsir serta tidak menimbulkan kesukaran kepada waris ketika proses pelaksanaannya.
"Saya menyokong matlamat RUU ini. Namun, sokongan saya terhadap teks akhirnya akan bergantung kepada jaminan bahawa ia sah apabila dicabar, jelas apabila ditafsirkan dan berkesan apabila dilaksanakan.
"Sebab itu saya mengemukakan lima jaminan waris Sabah. Ini bukan syarat politik, tetapi perlindungan supaya RUU ini tidak gagal di mahkamah, tersangkut di kaunter atau menzalimi waris.
"Saya minta Yang Berhormat Menteri menjawab setiap jaminan dalam penggulungan, sama ada menerimanya atau menyediakan perlindungan alternatif," katanya ketika membahaskan RUU itu pada Persidangan DUN Sabah pada Rabu.
Beliau berkata, RUU berkenaan merupakan satu inisiatif yang membanggakan dan diyakini sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus meletakkan Sabah sebagai perintis dalam menggubal undang-undang berkaitan pewarisan orang Islam.
"Kita bersyukur ada satu enakmen yang diperkenalkan di Dewan Undangan kita di negeri Sabah ini dan ini merupakan julung-julung kali saya rasa di Malaysia, negeri-negeri lain pun belum ada. Jadi kita mendahului, satu inisiatif yang baik.
"Namun begitu, walaupun ia satu inisiatif yang baik, dari masa ke semasa perlu kita perbaiki. Saya percaya tidak ada yang sempurna dan perlu ada penambahbaikan," katanya.
Jamil berkata, antara jaminan yang dikemukakan ialah memastikan RUU itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, selain memperjelaskan beberapa fasal berkaitan pelantikan wasi, pembahagian harta dan penyelarasannya dengan undang-undang Persekutuan.
Beliau turut mencadangkan supaya pemakaian RUU itu diperjelaskan agar hanya melibatkan orang Islam yang mempunyai hubungan undang-undang dengan Sabah, selain mewujudkan sistem pusat sehenti melibatkan Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi, Pejabat Tanah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), bank dan agensi berkaitan bagi memudahkan urusan waris, termasuk sasaran penyelesaian kes dalam tempoh 180 hari.
"Kita tidak mahu satu kematian melahirkan dua prosiding, dua pentadbir, dua perintah dan tiga kaunter. Kita mahu satu jalan yang terang. Syariah menentukan hak, pentadbiran melaksanakan hak, waris menerima hak.
"Biarlah Dewan ini tidak sekadar meluluskan sebuah enakmen. Biarlah Sabah memberi model pewarisan Islam yang kukuh di sisi Perlembagaan, setia kepada hukum syarak dan berkesan di tangan rakyat," katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan memberi perhatian kepada perlindungan golongan rentan seperti balu, anak perempuan, kanak-kanak dan orang kurang berupaya, selain mempertimbangkan pindaan terhadap beberapa fasal RUU serta menyediakan peruntukan, laporan tahunan dan semakan semula selepas dua tahun bagi memastikan enakmen itu benar-benar memberi manfaat kepada waris.
Sebelum itu, RUU berkenaan dibentangkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, sebelum dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan diluluskan di DUN Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
