Isu Pan Borneo: 'Saya tidak dakwa sesiapa tapi PAC boleh dapatkan dokumen' - Shafie Apdal

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa beliau tidak menuduh mana-mana pihak melakukan kesalahan berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.

Sebaliknya beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah juga mahu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap pelantikan Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Mohd Shafie berkata, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu meneliti bagaimana Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHPSB) dipilih sebagai PDP pada 2016, termasuk pihak yang mengesyorkan pelantikan dan kriteria pemilihan syarikat berkenaan.

"Saya tidak mendakwa sesiapa melakukan kesalahan. Tetapi PAC boleh mendapatkan dokumen yang tidak dapat diperoleh orang awam.

"Pada Januari 2020 saya telah menyatakan bahawa PDP tidak wajar dikendalikan oleh ahli politik. Pendirian itu tidak berubah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali bersama enam lagi Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyerah memorandum kepada PAC bagi meminta skop siasatan terhadap pelaksanaan projek LPB Sabah diperluaskan.

Mohd Shafie turut menggesa PAC mengenal pasti pemilik sebenar BHPSB, termasuk kemungkinan pembabitan pemimpin politik atau penyandang jawatan awam dalam syarikat berkenaan.

"Menjelaskan bagaimana BHPSB dipilih sebagai PDP pada 2016, adakah melalui tender terbuka, siapa mengesyorkan dan apa kriterianya.

"Mendedahkan pemilik benefisial, semua pengarah dan pemegang saham BHPSB sepanjang 2016–2019, termasuk sama ada terdapat pemimpin parti politik atau penyandang jawatan awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan gesaan Armizan tersebut untuk PAC memperluas siasatan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

"Saya mengambil maklum kenyataan Menteri KPDN Armizan yang menggesa PAC meluaskan siasatan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 supaya merangkumi asas dan implikasi penamatan PDP serta memanggil kontraktor yang terkesan.

"Saya alu-alukan. Rakyat Sabah mahu jawapan yang menyeluruh, bukannya dipilih-pilih," katanya.

Menurut Mohd Shafie, siasatan itu juga perlu merangkumi keputusan Jemaah Menteri Persekutuan pada 19 Disember 2018 untuk menamatkan model PDP, bayaran RM700.99 juta kepada PDP serta jumlah penyelesaian RM155 juta selepas penamatan berkenaan.

"Laporan Ketua Audit 2019 mendapati bagi WP21 Lahad Datu Bypass, kesemua 10 petender tidak memenuhi sekurang-kurangnya satu syarat kelayakan minimum, dan kontraktor yang dipilih tiada pengalaman membina jalan.

"Justeru, terdapat keperluan untuk PAC menyiasat pakej-pakej lain yang diberikan oleh PDP.

"Kontraktor yang dilantiknya juga wajar disiasat. Jika pelantikan atau prestasi mereka bermasalah, mengapa ada yang dikekalkan atau dilantik semula selepas penamatan PDP? PAC perlu meneliti keputusan tersebut dan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Selain itu, beliau mahu PAC menyemak urusan pihak berkaitan dalam pembayaran perunding berjumlah RM448.36 juta, selain meneliti isu pembiayaan, 19 pakej kerja yang bermula sebelum kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) serta kehilangan data 77,299 fail projek.

"Menyemak urusan pihak berkaitan: adakah mana-mana perunding atau subkontraktor yang menerima sebahagian RM448.36 juta bayaran perunding mempunyai kaitan dengan pengarah atau pemegang saham PDP.

"Pan Borneo Sarawak dibiayai sebahagian besarnya melalui DanaInfra. Adakah kaedah yang sama pernah dikaji untuk Sabah?," soalnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut menggesa PAC menyiasat perbezaan kadar pampasan pengambilan tanah bagi projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak yang menurut Laporan Audit masing-masing melibatkan RM1.447 bilion dan RM700 juta, meskipun keluasan tanah yang diambil hampir sama.

"Angka kasarnya menunjukkan pampasan Sabah kira-kira RM545 ribu (dibayar) hingga RM647 ribu (terlibat) sehektar, berbanding kira-kira RM287 ribu sehektar di Sarawak. Itu kira-kira dua kali ganda. Beza sebesar ini perlu dijelaskan.

"Meminta pendedahan penerima pampasan terbesar dan siapa pemilik tanah itu, termasuk sama ada ada tanah yang dibeli selepas jajaran diumumkan atau ada kaitan dengan pihak berkepentingan, mengikut prosedur PAC," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!