Restoran Hakim bertukar stadium mini dibanjiri penyokong bola

SHAH ALAM - Sorakan bergema dan laungan semangat memenuhi setiap ruang Restoran Hakim, Seksyen 7, di sini apabila premis dibanjiri penyokong Argentina dan Sepanyol bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi program Riuh BOLA SINAR x redONE Mobile x RTM pada Ahad.
Seawal jam 5 petang, orang ramai mula memenuhi restoran sebelum suasana semakin rancak menjelang sepak mula.
Kebanyakan pengunjung hadir bersama keluarga dan rakan-rakan dengan mengenakan jersi pasukan pilihan, manakala ada yang membawa bendera sebagai tanda sokongan.
Keadaan itu menjadikan pengalaman menonton bersama lebih meriah seolah-olah berada di dalam stadium.
Paparan skrin gergasi yang disediakan membolehkan setiap detik perlawanan diikuti dengan jelas sementara deretan meja yang dipenuhi pengunjung menikmati hidangan Restoran Hakim menambahkan lagi kemeriahan program.
Kehadiran penyokong daripada pelbagai kaum dan peringkat umur turut mencerminkan semangat perpaduan menerusi sukan apabila mereka bersama-sama berkongsi debaran dan kegembiraan bagi menantikan aksi final berlangsung.
Program Riuh BOLA SINAR x redONE Mobile x RTM yang berlangsung pada 19 dan 20 Julai itu diadakan selama 12 jam bermula jam 5 petang hingga 5 pagi dengan pelbagai pertandingan serta aktiviti interaktif untuk semua peringkat umur, termasuk saingan EA FC PS5, ulasan bola, kuiz dan cabutan bertuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

