Rumah Ngaji KPMS perkukuh agenda pembangunan ummah dalam kalangan pesara

SHAH ALAM - Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) mengambil langkah memperkukuh agenda pembangunan ummah apabila melancarkan Rumah Ngaji KPMS sebagai platform untuk membudayakan al-Quran dalam kalangan ahlinya.
Ketua Sektor Ilmuan KPMS yang juga Penggerak Rumah Ngaji KPMS, Dr Fatimah Hashim berkata, penubuhan Rumah Ngaji itu bukan sekadar menggalakkan ahli membaca al-Quran, sebaliknya membentuk masyarakat yang memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, idea menubuhkan Rumah Ngaji KPMS tercetus selepas mengikuti program anjuran Rumah Ngaji yang membuka ruang kepadanya memahami konsep sebenar gerakan berkenaan.
"Apabila saya mengikuti program Rumah Ngaji, saya melihat misinya sangat jelas iaitu membina ummah yang bukan sahaja membaca al-Quran, tetapi turut memahami dan mengamalkannya.
"Daripada situ saya mendapat banyak idea untuk memperkasakan aktiviti sedia ada di KPMS supaya lebih tersusun dan mempunyai hala tuju yang jelas," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea sempena Sambutan Hari Pesara 2026 di Dewan Sri Tanjung, Kelab Shah Alam, di sini pada Ahad.
Sebelum itu, pelancaran Rumah Ngaji KPMS disempurnakan mantan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sambil diiringi pengasas dan Yang Dipertua KPMS, Latiffah Sidek.
Majlis turut diserikan dengan Segmen Perkongsian Mahal: Membanteras Jenayah 3J oleh penganalisis jenayah tersohor, Kamal Affandi Hashim, cabutan bertuah dan Anugerah Ikon Kecergasan KPMS 2026 dengan kolaborasi Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurutnya, sebelum ini KPMS sudah melaksanakan pelbagai program kerohanian seperti bacaan Yasin bulanan, tadarus al-Quran dan majlis khatam, namun penyertaan dalam gerakan Rumah Ngaji diyakini mampu memperkukuh usaha berkenaan.
Beliau berkata, KPMS yang mempunyai kira-kira 800 ahli mempunyai potensi besar untuk menyebarluaskan budaya al-Quran kepada masyarakat termasuk melibatkan ahli keluarga seperti anak dan cucu.
"Kami mahu melahirkan ummah yang berilmu tentang al-Quran, bukan sekadar mampu membacanya tetapi benar-benar memahami dan mengamalkan ajarannya.
"Apabila semakin ramai menghayati al-Quran, saya percaya banyak masalah dalam masyarakat dapat ditangani," ujarnya.
Tambah beliau, Rumah Ngaji KPMS juga akan menyelaras pelbagai program berteraskan tadabbur al-Quran dan aktiviti kekeluargaan bagi menggalakkan interaksi antara generasi.
"Kita mahu jadikan program ini sebagai medium mendekatkan nenek, datuk, anak dan cucu dengan al-Quran melalui aktiviti yang santai tetapi memberi impak besar kepada pembentukan sahsiah," katanya.
Beliau berkata, KPMS sebagai badan yang bernaung di bawah Persatuan Institusi Bukan Kerajaan Islam (PIBK) MAIS turut melihat usaha tersebut selari dengan aspirasi MAIS dalam memperkukuh pembangunan ummah.

Dalam pada itu, Dr Fatimah berpandangan, inisiatif Rumah Ngaji yang digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sebagai langkah tepat untuk memperluaskan budaya al-Quran kepada semua lapisan masyarakat.
"Saya sangat terinspirasi dengan gerakan Rumah Ngaji. Dengan keahlian KPMS yang ramai, kami berharap dapat menjadi antara pemangkin kepada usaha melahirkan masyarakat yang lebih dekat dengan al-Quran," katanya.
Sementara itu, Latiffah berkata, penubuhan Rumah Ngaji KPMS melengkapkan usaha kelab itu yang selama ini menganjurkan pelbagai program duniawi dan ukhrawi bagi membentuk pesara yang aktif, berilmu dan seimbang dari segi rohani.
Menurutnya, KPMS turut menganjurkan program kesihatan, rekreasi serta aktiviti kemasyarakatan bagi memastikan ahlinya terus menjalani kehidupan yang aktif, selain aktiviti kerohanian seperti bacaan Yasin, pengajian al-Quran dan ceramah agama.
"Jangan fikir apabila usia meningkat, kita perlu berhenti menyumbang. Usia akan terus berlalu, tetapi semangat dan jati diri mesti sentiasa dipelihara.
"Sebab itu kami sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli dari sudut fizikal, mental dan rohani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

