AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan susulan kerjasama dengan PN

SHAH ALAM - Semua menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) digesa meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan gabungan parti itu secara terbuka menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Angkatan Muda Harapan (AMH) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan BN itu membuktikan parti berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut kenyataan itu, kerjasama terbuka antara BN dan PN turut mencerminkan kecenderungan parti berkenaan terhadap percaturan politik jangka pendek sehingga menimbulkan persoalan mengenai komitmennya dalam kerajaan.
"AMH menempelak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan sokongan pengundi kepada calon BN dan PN di peringkat negeri merupakan medan menguji formula yang berpotensi diterjemahkan ke peringkat nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Pengakuan itu menunjukkan kerjasama BN-PN bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu yang menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan," menurut kenyataan itu pada Ahad.
AMH berkata, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menghormati semangat Kerajaan Perpaduan apabila memperuntukkan jawatan Exco kepada BN di Pulau Pinang dan Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 walaupun kedua-dua negeri diterajui gabungan berkenaan.
Jelasnya, tindakan BN yang didakwa berulang kali menguji kesabaran rakan dalam Kerajaan Perpaduan menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar parti itu.
Sehubungan itu, AMH menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan dengan kadar segera supaya BN dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh kerjasama politik dengan PN tanpa menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan juga dapat mengurangkan kekeliruan rakyat terhadap pendirian BN.
Jelasnya lagi, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang usaha yang boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan agar kerajaan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

