'Sepatutnya Pemuda PH desak Exco Perak, Pahang letak jawatan dulu' - Mohd Syahir

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya mencampuri urusan dan pendirian Barisan Nasional (BN) susulan kerjasama terbuka gabungan yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid itu dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, gesaan supaya menteri dan timbalan menteri BN meletakkan jawatan jelas janggal serta keterluan memandangkan gabungan itu merupakan sekutu terkuat dalam Kerajaan Madani.
"Mengapa PH begitu gelisah di Putrajaya sedangkan kerjasama PN-BN setakat ini hanya terhad kepada ‘persefahaman’ PRN Negeri Sembilan?
"Mengapa ketika BN-PH bertembung di 56 kerusi dalam PRN Johor, desakan ini tidak timbul? Sepatutnya Pemuda PH mendesak Exco PH di Perak dan Pahang meletakkan jawatan terlebih dahulu. Tindakan DAP Melaka wajar dijadikan contoh," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Angkatan Muda Harapan (AMH) pada Ahad menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan dalam Kabinet susulan perkembangan politik terkini melibatkan BN dan PN.
Menerusi kenyataan bersama itu, AMH mendakwa, bekerjasama secara terbuka kedua-dua gabungan tersebut membuktikan BN tidak menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Mohd Syahir yang juga wakil rakyat Pas berkata, persefahaman BN-PN di Negeri Sembilan bertujuan mengelakkan pertindihan kerusi, memperkukuh penyatuan ummah dan menawarkan alternatif kepada kegagalan pentadbiran PH.
Jelasnya, sebarang bentuk kerjasama PN-BN pasca PRN Negeri Sembilan masih bersifat 'ujian formula' dan semua pihak masih mengamalkan pendekatan berhati-hati, termasuk mengambil kira pandangan akar umbi.
"Reaksi MCA menunjukkan bahawa rasa sangsi terhadap kerjasama ini masih wujud. Atau mungkin Pemuda PH sendiri sudah tidak lagi yakin dengan kekuatan Kerajaan Madani, walaupun dahulu mendabik dada, 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'.
"Hakikatnya, di mata rakyat, khususnya umat Melayu di negara ini, PMX dan PH sedang menghitung hari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

