Kerajaan perlu tubuh jawatankuasa petugas khas tangani kesan El Nino ekstrem

PARIT – Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa petugas khas di pelbagai peringkat bagi menyelaras tindakan menangani kesan fenomena El Nino ekstrem yang semakin menjejaskan sektor penanaman padi serta mengancam keterjaminan bekalan beras negara.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, pasukan khas itu perlu membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pihak berkaitan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, jawatankuasa itu penting bagi memastikan tindakan penyelarasan dapat dilaksanakan sehingga ke peringkat daerah, bukannya hanya di peringkat kementerian.
"Kita perlukan jawatankuasa petugas khas menangani bencana El Nino, bukan sekadar di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri dan daerah.
"Ia perlu melibatkan semua agensi berkaitan supaya isu bekalan air, sistem pengairan, benih tahan cuaca ekstrem dan penyelenggaraan pam dapat diselesaikan secara menyeluruh," katanya ketika meninjau kawasan penanaman padi di Lambor Kanan di sini pada Sabtu.
Nordin berkata, hasil tinjauan bersama pesawah di kawasan itu mendapati banyak sawah mengalami kekeringan akibat kekurangan bekalan air sehingga menyebabkan sebahagian kawasan dipenuhi semak.
Dalam pada itu beliau menggesa kerajaan menyediakan dana khas bencana bagi membantu penyelenggaraan rumah pam, menambah pam bergerak serta memperkukuhkan sistem pengairan di kawasan penanaman padi.
"Fenomena El Nino ini sebenarnya telah dikesan sejak tahun lalu, jadi persiapan teknikal sepatutnya sudah dibuat lebih awal termasuk memastikan semua pam beroperasi serta menyediakan pam bergerak.
"Namun saya dimaklumkan JPS berdepan kekangan peruntukan bagi kerja penyelenggaraan selain kos operasi pam bergerak yang menggunakan diesel semakin meningkat," katanya.
Beliau turut menggesa usaha mempercepatkan penggunaan benih padi yang lebih tahan terhadap cuaca ekstrem bagi mengurangkan risiko kerugian pesawah.
Menurutnya, jika isu berkenaan tidak ditangani segera, negara berisiko berdepan gangguan bekalan beras tempatan terutama menjelang penghujung tahun apabila kawasan jelapang padi utama turut mengalami masalah sama.
Dalam pada itu, Nordin berkata, keadaan tersebut turut menyebabkan semakin ramai pesawah memulangkan semula tanah yang disewa kepada pemilik kerana tidak lagi mampu menanggung kerugian.
Katanya, golongan belia juga semakin hilang minat untuk mengusahakan sawah padi kerana pulangan yang tidak menentu, malah terdapat kawasan yang mula beralih kepada tanaman kelapa sawit.
"Kalau keadaan ini berterusan, kita bukan sahaja kehilangan pesawah tetapi turut berdepan ancaman terhadap keterjaminan makanan negara.
"Kita tidak boleh bergantung kepada import semata-mata kerana itu bukan lagi konsep keterjaminan makanan yang sebenar," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan cuaca panas melampau yang berlarutan menjejaskan tanaman padi di beberapa kawasan seluas 15,000 hektar di daerah Perak Tengah apabila pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air.
Lebih membimbangkan, keadaan itu menyebabkan ada yang terpaksa menangguhkan atau tidak mengusahakan sawah mereka.
Wakil pesawah, Nurfitri Amir Muhammad, 42, berkata, keadaan itu diburukkan lagi apabila kemudahan rumah pam JPS di Teluk Bakong didakwa tidak berfungsi sepenuhnya berikutan masalah penyelenggaraan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

