X

Kindly register in order to view this article
!

Sokong keputusan kerajaan tidak benarkan kedai gunting beroperasi

Kerajaan tidak membenarkan kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara beroperasi. - Foto Bernama Gambar kecil: Akilan Anandakrishnan
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan menyambut baik dan menyokong keputusan kerajaan yang tidak membenarkan kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengerusinya, Akilan Anandakrishnan berkata, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan demi menjaga keselamatan bukan sahaja ahlinya bahkan keselamatan orang ramai.

Malahan katanya, sebelum ini lebih 1,000 ahli persatuannya juga sebulat suara bersetuju untuk menutup kedai masing-masing sehingga 30 April depan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan PKP fasa kedua pada 10 Mac lalu.

"Jadi persatuan kami sememangnya menyokong keputusan kerajaan yang tidak benarkan kedai gunting rambut beroperasi sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan wujudkan jangkitan Covid-19 kluster gunting rambut.

"Pihak persatuan juga akan beri nasihat kepada ahli-ahli kami tentang prosedur keselamatan dan tatatertib kedai gunting rambut yang lebih efisien selepas kerajaan benarkan kami buka kedai semula," katanya ketika dihubingi Sinar Harian.

Keputusan tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ismail Sabri berkata, perkara itu diputuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat khas pagi semalam setelah kerajaan mendengar pandangan rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar.

Terdahulu, kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan kelonggaran sembilan industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP termasuk perkhidmatan gunting rambut dan dobi.

Bagaimanapun, Akilan berkata, persatuannya berharap agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan tambahan kepada mereka untuk membantu survival mereka dalam industri itu ketika ini.

"Sudah tentu setelah kerajaan beri kebenaran untuk kami beroperasi nanti, kami perlu sediakan kelengkapan tambahan untuk keselamatan seperti apron, topeng muka, sarung tangan dan cecair sanitasi.

"Kos penyediaan kesemua keperluan itu sudah tentu tinggi dan ia juga bebankan ahli-ahli kami. Oleh itu, kami harap kerajaan dapat salurkan bantuan melalui persatuan sebelum ia diagihkan kepada ahli," katanya.

Tambahnya, sejak PKP dilaksanakan, ahlinya tidak terkecuali terpaksa menanggung bebanan kewangan sedangkan mereka tidak dapat berniaga.

"Beban itu dari segi sewa kedai antara RM2,500 hingga RM10,000. Mereka juga perlu bayar gaji pekerja dari RM1,200 hingga RM3,000 seorang.

"Ada juga majikan yang juga perlu menanggung kos perubatan, makanan, dobi dan sewa bilik pekerja," katanya.

Katanya, bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan kerajaan sedikit sebanyak meringankan bebanan kesemua ahlinya yang layak menerima bantuan itu.

"Tapi setakat ini bantuan yang diperoleh itu tak pasti sama ada ia cukup untuk tampung semua beban yang dipikul mereka malah ahli-ahli persatuan kami juga cuba pelbagai cara untuk jana pendapatan dan kami harap ada bantuan tambahan daripada kerajaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!