Perak wujudkan Halaman Suri Sejahtera, sokong persediaan negeri menua

Saarani (dua dari kanan) diiringi Salbiah (tiga dari kiri) ketika meninjau operasi Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang, Ipoh.
Saarani (dua dari kanan) diiringi Salbiah (tiga dari kiri) ketika meninjau operasi Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Perak mewujudkan Halaman Suri Sejahtera sebagai pusat komuniti pelbagai fungsi bagi menyokong keperluan masyarakat, khususnya dalam menghadapi peningkatan populasi warga emas di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kemudahan itu menyediakan pelbagai perkhidmatan sosial dan pembangunan komuniti dalam satu lokasi yang mudah diakses.

Menurutnya, antara pengisian yang disediakan termasuklah latihan kemahiran, pendidikan sepanjang hayat, sokongan psikososial, penjagaan kesihatan serta aktiviti sosial yang mengeratkan hubungan komuniti dan memberi manfaat kepada warga emas, kanak-kanak, keluarga serta golongan rentan.

"Inisiatif ini merupakan pelaburan sosial kerajaan negeri dalam membina ekosistem sokongan masyarakat, bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata.

"Ia selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan sosial secara inklusif dan menyeluruh,” katanya.

Antara pengisian yang disediakan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak termasuklah latihan kemahiran, pendidikan sepanjang hayat, sokongan psikososial, penjagaan kesihatan serta aktiviti sosial.
Antara pengisian yang disediakan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak termasuklah latihan kemahiran, pendidikan sepanjang hayat, sokongan psikososial, penjagaan kesihatan serta aktiviti sosial.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang di sini pada Khamis yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Usaha mewujudkan Halaman Suri Sejahtera telah dirancang lebih 10 tahun lalu dibawah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, sebelum dapat direalisasikan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Salbiah berkata, kewujudan Halaman Suri Sejahtera bertepatan dengan keperluan sebenar masyarakat apatah lagi Perak kini sedang berhadapan dengan peningkatan jumlah penduduk warga emas.

"Perubahan demografi ini menuntut kita menyediakan lebih banyak prasarana yang mesra usia, mudah diakses dan mampu menyokong kehidupan warga emas agar terus aktif, sihat dan bermaruah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Salbiah memaklumkan Halaman Suri Sejahtera turut menarik minat Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad yang menguruskan dana pembangunan masyarakat.

Katanya, inisiatif tersebut dikenal pasti sebagai antara program berpotensi untuk menerima sokongan pendanaan pada masa hadapan.

“Sekiranya peluang ini dapat dimanfaatkan, ia bukan sahaja memperkukuhkan pelaksanaan program sedia ada, malah membuka ruang untuk memperluaskan model ini ke lebih banyak lokasi di seluruh negeri,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!