Selepas tular di Duyong, warga emas kembali minta wang secara paksa di Sungai Udang pula

MELAKA – Selepas kegiatan seorang warga emas yang didakwa meminta wang secara memaksa tular di Duyong, beberapa pengguna media sosial mendedahkan individu sama kini dikesan melakukan perbuatan serupa di Sungai Udang.
Seorang pengguna media sosial memaklumkan lelaki berkenaan kini berada di sebuah pasar raya di Sungai Udang.
"Dia ada di Sungai Udang. Kebetulan baru lepas baca hantaran YB Helmy, memang kena ceramah apabila dia datang minta RM10 tadi," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perkara sama turut didedahkan beberapa pengguna media sosial lain yang mendakwa terserempak dengan warga emas terbabit ketika membeli barangan keperluan di pasar raya berkenaan.
Seorang pengguna memberitahu, lelaki itu meminta wang daripada suaminya, namun suaminya enggan memberikan wang menyebabkan raut wajah warga emas berkenaan berubah seolah-olah marah.
Seorang lagi pengguna turut berkongsi pengalaman didatangi lelaki sama yang mendakwa memerlukan wang untuk membeli ubat.
"Dua tiga kali dia minta RM10 dan cakap nak beli ubat. Bila saya kata tiada wang tunai, dia suruh buat pindahan bank. Nasib baik saya tak sempat buat. Memang saya syak dia scammer," katanya.
Pada Sabtu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, warga emas terbabit didakwa bertindak menghalang kenderaan apabila permintaannya tidak dilayan sehingga menimbulkan ketakutan kepada orang ramai.

"Ni lagi satu penyakit. Mengemis memaksa-maksa. Bila kena perempuan yang tak bagi duit, dia blok depan kereta sampai mendatangkan ketakutan. Polis Kandang dah tahu, tinggal belum jodoh nak berselisih.
"Sebelum ini JPKK Permatang Duyong dah datang. Orang luar Duyong. Lepas kena tegur, hilang sekejap. Ni datang balik. Datang naik Grab khabarnya," menerusi hantaran itu.
Beliau menasihatkan orang awam yang terserempak dengan lelaki berkenaan supaya tidak memberikan sebarang wang kepadanya.
"Jangan bagi duit lagi. Cepat-cepat masuk kereta, terus kunci pintu lain kali.
"Mentang-mentang orang Duyong ni baik-baik dan pemurah, dah satu hal macam-macam orang bermasalah datang ambil kesempatan," katanya.
Selain Sungai Udang, beberapa pengguna media sosial turut mendakwa individu sama pernah dilihat di pasar raya di Masjid Tanah dan Bukit Rambai menggunakan modus operandi hampir sama, iaitu meminta wang sekitar RM10 dengan alasan membeli makanan atau ubat.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

