Syabas rakyat Malaysia prihatin tentang Network School

PADA Mei lalu pihak berkuasa Thailand menyerbu sebuah sekolah yang beroperasi secara haram di Koh Phangan dan menemui 89 kanak-kanak warga Israel di premis berkenaan.
Serbuan dilakukan di Arki Kid School di Kampung Moo 3 di pulau pelancongan itu pada jam 12.30 tengah hari, waktu tempatan Jumaat lalu.
Premis itu hanya mempunyai lesen sebagai pusat jagaan kanak-kanak untuk 18 kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun, namun pemeriksaan mendapati terdapat 89 kanak-kanak warga Israel berusia antara dua hingga 12 tahun berada di situ.
Koh Phangan kini menjadi destinasi popular dalam kalangan warga Israel dengan dianggarkan kira-kira 2,500 rakyat negara itu menetap di pulau berkenaan.
Keadaan itu turut mencetuskan ketegangan dan aduan berkaitan pemilikan hartanah serta operasi perniagaan yang didakwa tidak mematuhi undang-undang tempatan.
Sementara itu, di Malaysia kecoh dengan dakwaan mengatakan wujud warga Israel yang menyertai program di kenali sebagai Network School di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.
Bagaimanapun, Jabatan Imigresen sudah membuat pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara yang menetap di kawasan tersebut dan mendapati mereka memiliki dokumen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Imigresen turut memberi jaminan untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.
Berbeza dengan Thailand, Malaysia memang tiada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan disebabkan itu, tiada mana-mana warganegara itu termasuk mereka yang mempunyai dwi-kewarganegaraan dibenarkan memasuki Malaysia.
Sehubungan itu, syabas kepada rakyat Malaysia yang mempunyai kepekaan tinggi terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan dan mempunyai kaitan langsung dengan negara yang menjadi pembunuh umat Islam itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
