KDN siasat operasi 'Network School' di Forest City

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh berhubung isu operasi 'Network School' di Forest City, Johor.
Ini termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
KDN dalam kenyataan berkata, siasatan merangkumi semakan identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, status dan kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen serta tujuan kemasukan ke Malaysia.
Menurutnya kenyataan tersebut, pihaknya juga menyiasat pematuhan terhadap syarat-syarat ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta undang-undang lain yang berkaitan.
"KDN turut bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensı berkaitan bagi memastikan segala aspek yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
"Sekiranya hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau apa-apa kesalahan lain yang menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.
"Kementerian ingin menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu mahupun organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti bercanggah dengan undang-undang sehingga boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan Malaysia," katanya pada Selasa.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Justeru, beliau meminta KDN dan agensi keselamatan di bawahnya untuk menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh berhubung perkara berkenaan.
Sementara itu, KDN menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
