JIM periksa 266 warga asing di Forest City

Laporan Sinar Harian dan Zakaria Shaaban.
Laporan Sinar Harian dan Zakaria Shaaban.
A
A
A

PUTRAJAYA- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan naziran terhadap sebuah komuniti antarabangsa di Forest City, Johor pada Selasa membabitkan pemeriksaan ke atas 266 warga asing dari 40 negara.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil semakan awal mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.

Bagaimanapun, katanya, semakan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan.

"Setiap kemasukan warganegara asing ke Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

"Pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan berdasarkan dokumen perjalanan yang dikemukakan, semakan terhadap pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan yang tersedia ketika pemeriksaan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, JIM akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.

"JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen," katanya.

Katanya, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"JIM bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan KDN melalui JIM, PDRM dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh berhubung isu operasi 'Network School' di Forest City, Johor.

Ini termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

KDN dalam kenyataan berkata, siasatan merangkumi semakan identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, status dan kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen serta tujuan kemasukan ke Malaysia.

Menurutnya kenyataan tersebut, pihaknya juga menyiasat pematuhan terhadap syarat-syarat ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta undang-undang lain yang berkaitan.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!