Isu Network School: Premis di Forest City masih dikunjungi, keselamatan diperketat

Premis Network School di Forest City Iskandar Puteri.
Premis Network School di Forest City Iskandar Puteri.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Premis Network School di Forest City di sini yang dikaitkan dengan dakwaan penyertaan warga Israel menggunakan pasport negara kedua dan kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa, dilihat masih beroperasi.

Perjalanan ke lokasi dari Kota Iskandar, yang merupakan kawasan pentadbiran kerajaan negeri paling hampir, mengambil masa kira-kira 20 minit dengan jarak sekitar 20 kilometer.

Tinjauan mendapati beberapa individu dipercayai warga asing dan berpakaian biasa dilihat keluar dan masuk ke bangunan berkenaan sepanjang pemerhatian dilakukan, namun tiada sebarang aktiviti mencurigakan dapat diperhatikan dari luar premis.

Aspek keselamatan di kawasan itu juga kelihatan diberi perhatian apabila terdapat pengawal keselamatan ditempatkan di pintu masuk dan sekitar bangunan.

Keadaan di sekitar kawasan kejiranan Forest City pula agak lengang dengan kebanyakan individu yang ditemui terdiri daripada warga asing, pelancong serta pekerja yang berulang-alik ke Singapura.

Keadaan di sekitar kawasan kejiranan Forest City pula agak lengang.
Keadaan di sekitar kawasan kejiranan Forest City pula agak lengang.

Difahamkan, satu operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi kerajaan telah dijalankan di premis itu pada petang Isnin bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai hasil operasi berkenaan kerana siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, sebarang tindakan yang didapati bercanggah dengan dasar kerajaan atau undang-undang negara perlu disiasat secara menyeluruh sebelum tindakan sewajarnya diambil.

"Sekiranya perkara itu benar dan melanggar dasar kerajaan, sudah tentu kami tidak bersetuju dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Sebelum itu pada Selasa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh berhubung isu operasi 'Network School' di Forest City, Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataannya, menegaskan kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!