Menilai FPK melalui al-Quran

A
A
A

ADA yang tanya mengapa saya mempersoalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sebenarnya setiap ibu bapa seperti saya perlu mengambil berat tentang arah tuju pendidikan negara.

Menteri Pendidikan telah mengisytiharkan kecenderungan untuk mendengar komen-komen ibu bapa. Pada tempoh kuarantin inilah peluang keemasan untuk ibu bapa memberi komen membina tentang FPK untuk mencipta The New Normal (kebiasaan yang baru).

Saya yakin para profesor yang pakar dalam pendidikan akan menyahut cabaran Menteri Pendidikan untuk mendengar komen-komen daripada ibu bapa dan tidak bersifat conscious, apologetik dan defensif dalam penilaian kerana FPK hanyalah usaha ijtihad.

Ijtihad yang betul dapat dua pahala dan ijtihad yang salah dapat satu pahala tetapi taksub serta ego membawa bala.

Status yang paling utama dalam diri saya ialah sebagai seorang Muslim. Sumber rujukan yang paling utama saya ialah wahyu dan generasi Muhajiruun Ansar yang terbukti kejayaan.

Siapa sangka bahawa Umar Al-Khattab yang merupakan anak kepada pemimpin satu kabilah kecil yang tidak pernah mengenal makna tamadun akan memimpin satu umat paling kuat dan beramanah untuk menakluk dua tamadun dunia iaitu Empayar Parsi dan kota Empayar Roma yang paling suci sekali iaitu Baitulmaqdis!

Umar bukan sekadar hebat dalam strategi politik tetapi beliau membuat banyak tajdid dalam ijtihad membantu usaha tajdid kita di zaman sekarang.

Al-Quran mendidik Umar untuk memiliki mindset pemimpin dan pemikir yang mampu bersaing global. Kalaulah Umar yang membuat falsafah pendidikan, apakah ia sama FPK kita?

Artikel Berkaitan:

FPK kita hanyalah ijtihad para ilmuwan, walaupun tahap profesor sekalipun, yang belum terbukti kemampuannya untuk menakluk dunia ilmu.

FPK adalah ijtihad mindset pasca-kolonialisme yang masih menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah ia masih benar-benar ‘merdeka’.

FPK adalah ijtihad mindset yang dididik oleh budaya yang belum lagi terbukti sama ada mampu bersaing atau tidak dengan budaya Yahudi yang berjaya menjadikan Israel sebagai Start Up Nation yang berjaya memaksa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Israel sebagai negara yang melahirkan Einstein, menggegar dunia dengan penciptaan Google, Waze, Facebook, Intel dan mencipta Marxisme yang menjadi ideologi China serta Rusia dan mencipta Taksonomi Bloom yang digunapakai semua sekolah dan universiti kita!

Umar bukan profesor tetapi beliau yakin al-Quran adalah mukjizat superpower. Kalau Nabi Musa memiliki tongkat untuk bersaing dengan Firaun, Umar memiliki al-Quran untuk bersaing dengan Firaun zamannya.

Kita terpanggil untuk menilai keberkesanan FPK dengan panduan Kalam Maha Pencipta yang mendidik Umar.

Mungkin ada yang berhujah bahawa al-Quran adalah kitab lama, tak sesuai dengan zaman sekarang. Maka, saya jawab mengapa pula kitab Sun Tzu Art of War dan falsafah Aristotle yang lahir sebelum Islam masih dipuja?

Saya telah cadangkan kalimah kompetitif atau berdaya saing dimasukkan dalam FPK kerana al-Quran menyebut tentang fastabiqul khairaat (berlumba-lumba mengejar kebaikan).

Dikatakan bahawa idea kompetitif tersirat dalam FPK. Isunya ialah mengapa perlu tersirat? Al-Quran tidak menyiratkan istilah bersaing kerana ia yakin kebenaran akan menumpaskan kebatilan. Kalimah kebenaran pun tidak wujud dalam FPK! Tersirat juga?

Saya akan jelaskan dalam artikel yang akan datang bahawa terdapat dua istilah Quranik yang lebih tepat, hebat, tidak tersirat dan patut menggantikan istilah insan yang ‘seimbang dan harmonis’. Kedua istilah itu ialah insan yang ‘Kuat (al-Qawii) dan Beramanah (al-Amin)’. Bersambung.

Pada tempoh kuarantin inilah peluang keemasan untuk ibu bapa memberi komen membina tentang FPK untuk mencipta The New Normal (kebiasaan yang baru).”

* Abdul Naser Tun Abdul Rahman (Xifu Naser) ialah pensyarah Pemikiran Kritis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)