X

Kindly register in order to view this article
!

Perak cadang bazar Ramadan pandu lalu

Nolee Ashilin ketika bercakap pada sidang akhbar hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak bercadang menganjurkan bazar Ramadan secara pandu lalu dan dalam talian di lokasi-lokasi terpilih bermula 29 April ini, sebaik tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, konsep dikenali Smart [email protected] itu mendapat persetujuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengambil kira semua aspek kawalan dalam mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Setakat ini terdapat kira-kira 40 lokasi seluruh negeri membabitkan lebih 1,000 peniaga telah dikenal pasti bagi tujuan ini.

"Kita terpaksa memilih lokasi yang dikira selamat dan terkawal, keselamatan diletakkan sebagai faktor utama dengan mengambil kira aspek jarak sosial, kawasan sanitasi dan aliran trafik untuk mengurangkan risiko penularan wabak," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, beberapa perkara diberi penekanan sepanjang pelaksanaan bazar itu seperti mewajibkan setiap peniaga terlibat menjalani ujian suhu badan, suntikan tifoid, pemakaian apron dan topeng muka, amalan kebersihan yang ketat serta waktu operasi terhad antara jam 3 hingga 6 petang.

"Kita juga akan membuat penetapan menu bersesuaian yang disediakan lebih awal secara siap dibungkus dan dipamerkan dalam talian masing-masing.

"Dengan cara itu, pengunjung dapat membuat pilihan sebelum datang mengambilnya tanpa perlu berkumpul secara ramai," katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang diperkenalkan itu adalah alternatif kerajaan negeri untuk memberi ruang peniaga menjana pendapatan dan merangsang ekonomi setempat tanpa mengabaikan pematuhan PKP.

"Kita harapkan tempoh PKP ini tamat pada 28 April dan pada 29 April dapat kita laksanakan konsep ini di lokasi yang telah dikenal pasti.

"Sekiranya tempoh PKP terus dipanjangkan, konsep ini akan dibatalkan dan kita ambil pendekatan untuk tidak adakan apa-apa konsep bazar Ramadan di Perak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!