RM10.9 juta disedia MAIPk latih asnaf dalam TVET

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan RM10.9 juta tahun ini bagi melaksanakan program latihan kemahiran membabitkan 1,215 asnaf sebagai usaha memperkasa sosioekonomi golongan itu menerusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, daripada jumlah itu, seramai 340 peserta kohort ketiga yang terkini dilepaskan untuk mengikuti latihan di enam institusi latihan terpilih dengan kos melebihi RM3.1 juta.
Menurutnya, peruntukan tersebut meliputi pembiayaan latihan kemahiran, pensijilan profesional serta keperluan latihan peserta sebagai pelaburan jangka panjang bagi melahirkan modal insan berdaya saing.
"Pada tahun ini kita memperuntukkan keseluruhan RM10.9 juta untuk program latihan kemahiran melibatkan 1,215 peserta. Hari ini kita melepaskan kohort ketiga seramai 340 peserta selepas dua kumpulan terdahulu dihantar mengikuti latihan.

"Peserta akan mengikuti latihan dalam pelbagai bidang berimpak tinggi seperti pembinaan, minyak dan gas, automasi industri, kimpalan, perkapalan, kesihatan serta sektor perkhidmatan mengikut keperluan industri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Latihan Kemahiran Asnaf 2026 di sini pada Isnin.
Syamsul Hazeman berkata, enam institusi latihan yang terlibat ialah Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara, SRC Global Resources Sdn Bhd, Vision University College, Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd, Northwestern Institute of Advanced Technical Skills dan Haaza Centre of Excellence.
Menurut beliau, pemilihan bidang latihan dibuat berdasarkan kecenderungan peserta serta permintaan industri dengan kerjasama rakan strategik yang turut bertanggungjawab menyediakan peluang pekerjaan kepada semua peserta selepas tamat latihan.
"Semua penyedia latihan diwajibkan membantu peserta mendapatkan pekerjaan. Mereka telah mengenal pasti keperluan tenaga kerja dalam industri sebelum peserta dihantar mengikuti latihan.
"Malah ada peserta yang akan ditempatkan bekerja di luar Perak termasuk di Johor bergantung kepada permintaan industri, manakala bidang yang diperlukan dalam negeri seperti automotif juga terus diberi perhatian," katanya.
Beliau berkata, tempoh latihan bergantung kepada kursus yang diikuti iaitu antara satu hingga beberapa bulan sebelum peserta ditempatkan dalam sektor pekerjaan berkaitan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MAIPk menerima lebih 10,000 permohonan bagi program berkenaan, namun hanya pemohon yang benar-benar layak dipilih selepas melalui proses tapisan berdasarkan pangkalan data asnaf sedia ada.
Mengulas isu pembayaran zakat di negeri tempat bekerja atau negeri asal, Syamsul Hazeman berkata, hukum pembayaran zakat adalah sah walau di mana ia dilaksanakan, namun orang ramai digalakkan menunaikan zakat di tempat yang memberi manfaat kepada komuniti yang ingin dibantu.
Katanya, MAIPk menyasarkan agihan zakat hampir RM298 juta tahun ini dan berharap lebih ramai pembayar zakat terus menyalurkan sumbangan bagi memastikan lebih ramai asnaf dapat dibantu melalui pelbagai program pembangunan ekonomi dan pendidikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


