Ketidakpadanan kemahiran cabaran industri pembuatan

SEKTOR pembuatan negara berdepan isu ketidakpadanan kemahiran berbanding kekurangan tenaga kerja sekali gus menjejaskan produktiviti dan daya saing industri.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, ia menyebabkan wujud jurang antara kemahiran yang dimiliki pencari kerja dengan keperluan sebenar sektor pembuatan.
Menurut Jacob, perkembangan pesat teknologi automasi dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) menyebabkan kurikulum di institusi latihan tempatan sukar bergerak seiring dengan perubahan keperluan industri.
"Keadaan ini mewujudkan jurang apabila kelayakan yang dimiliki pencari kerja tidak selari dengan kemahiran teknikal moden yang diperlukan di kilang-kilang.
"Justeru, FMM sedang memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan pemain industri bagi menyelaraskan semula program latihan teknikal supaya lebih responsif terhadap perubahan teknologi," katanya kepada Sinar Bisnes.

Jacob berkata, usaha tersebut melibatkan semakan kurikulum secara berkala, pelaksanaan program peningkatan kemahiran serta pengukuhan latihan amali bagi memastikan graduan memiliki kemahiran praktikal yang memenuhi keperluan industri.
Katanya, kekurangan tenaga mahir bukan hanya tertumpu kepada subsektor berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta automasi malah turut dirasai industri tradisional termasuk pemprosesan makanan, plastik, kimia dan fabrikasi logam.
“Apabila semakin banyak syarikat beralih kepada pendigitalan dan automasi bagi meningkatkan produktiviti, permintaan terhadap pekerja yang menguasai kemahiran teknikal dan digital turut meningkat.
"Walaupun cabaran ini lebih ketara dalam subsektor berteknologi tinggi, jurang kemahiran teknikal dan digital kini menjadi isu sistemik yang menjejaskan keseluruhan sektor pembuatan," katanya.
Tambah Jacob, kekurangan dan ketidakpadanan tenaga mahir turut memberi kesan langsung kepada operasi syarikat apabila jawatan kritikal tidak dapat diisi, sekali gus menyebabkan kelewatan pengeluaran, penggunaan kapasiti yang rendah serta penurunan produktiviti.
Katanya, syarikat yang merancang untuk memperluaskan operasi juga menjadi lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan kerana kesukaran mendapatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi boleh menangguhkan pelaksanaan automasi serta pembukaan barisan pengeluaran baharu.
Sehubungan itu, FMM menggesa kerajaan memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diterajui industri selain memperluas kerjasama antara universiti dan sektor pembuatan.
"Kilang perlu diberikan peranan lebih besar dalam membentuk program latihan supaya graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan industri moden.
“Kerjasama dalam penyelidikan gunaan juga perlu diperkasakan bagi merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan pembuatan pintar," katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Profesor Madya Dr Suhaida Mohd Amin berkata, kekurangan tenaga mahir masih wujud dalam sektor tertentu seperti semikonduktor, E&E, automasi serta pembuatan pintar namun terdapat juga isu ketidakpadanan kemahiran antara tenaga kerja sedia ada dengan keperluan industri.

“Data Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan masih ramai graduan dan pencari pekerjaan. Namun ramai tidak mempunyai kemahiran teknikal yang diperlukan industri, mempunyai kelayakan akademik tetapi kurang pengalaman praktikal, kurang menguasai kemahiran digital dan kurang mahir menyelesaikan masalah.
"Boleh kita katakan penawaran tidak memenuhi permintaan," katanya.
Beliau berkata, laporan MyMahir Malaysia Critical Occupations List (MyCOL) 2024/2025 mengenal pasti beberapa pekerjaan yang terus mengalami kekurangan tenaga mahir termasuk jurutera industri dan pengeluaran, jurutera mekanikal, profesional pembuatan serta juruteknik kejuruteraan mekanikal.
Dalam pada itu, laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) turut menunjukkan Malaysia berdepan skills imbalance iaitu berlaku lebihan kemahiran dalam sesetengah bidang, namun kekurangan tenaga kerja dalam kemahiran yang benar-benar diperlukan industri moden.
Mengulas peranan institusi pendidikan,Suhaida berkata, sistem pendidikan tinggi dan TVET negara semakin baik, namun perkembangan teknologi yang terlalu pantas menyebabkan jurang kemahiran sukar dielakkan.
"Institusi pengajian sentiasa menyemak kurikulum dengan penglibatan pihak industri, namun apabila graduan menamatkan pengajian, teknologi baharu pula muncul dan keperluan industri turut berubah," katanya.
Mengakui isu ketidakpadanan kemahiran turut berlaku di negara seperti Singapura, Jerman, Jepun dan Australia, Suhaida berkata, Malaysia bukan sekadar perlu melahirkan lebih ramai graduan, tetapi memastikan kemahiran mereka sentiasa relevan agar dapat memenuhi keperluan industri yang berkembang seiring dengan perubahan teknologi.
Pada masa sama, faktor seperti struktur gaji, peluang peningkatan kerjaya, latihan serta persekitaran kerja turut mempengaruhi keupayaan syarikat menarik dan mengekalkan tenaga mahir.
"Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Dasar TVET Negara 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi memperkukuh pembangunan modal insan melalui program peningkatan kemahiran, latihan semula serta kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan dan industri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
