MAHB adakan latihan penuh skala kemalangan udara Khamis ini

MAHB akan melaksanakan latihan penuh skala kemalangan udara menerusi Ex Urban Falcon 2026 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Khamis ini
MAHB akan melaksanakan latihan penuh skala kemalangan udara menerusi Ex Urban Falcon 2026 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Khamis ini
A
A
A

SHAH ALAM – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan melaksanakan latihan penuh skala kemalangan udara menerusi Ex Urban Falcon 2026 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Khamis ini bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan.

MAHB dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, latihan yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang itu merupakan sebahagian daripada Program Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 yang bertemakan Integrasi Perkasa, Aspirasi Nusa.

Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, PROLINTAS-DASH dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN).

"Pelaksanaan latih amal bencana udara ini mempunyai objektif utama untuk menilai dan menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi serta tindak balas dalam mendepani sebarang situasi kecemasan.

"Selain itu, program ini juga berfungsi untuk menguji respons daripada pelbagai agensi keselamatan dan kecemasan yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pengguna Lebuhraya DASH dan orang awam dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat kehadiran kenderaan kecemasan, asap, replika pesawat, bunyi siren atau aktiviti simulasi di sekitar kawasan R&R Denai Alam sepanjang latihan dijalankan.

MAHB turut meminta orang ramai memberi kerjasama dengan mematuhi arahan petugas di lokasi bagi memastikan latihan dapat dilaksanakan dengan selamat dan lancar.

Menurut kenyataan itu, latihan penuh skala tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara serta memastikan prosedur tindak balas kecemasan sentiasa berada pada tahap optimum sekiranya berlaku insiden kemalangan udara sebenar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!