'Mudah-mudahan keputusan berpihak kepada anak saya' - Ibu Syed Saddiq

Sharifah Mahani (tengah) hadir menemani anaknya, Syed Saddiq (kiri) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Isnin. Foto: Asril Aswandi Shukor
Sharifah Mahani (tengah) hadir menemani anaknya, Syed Saddiq (kiri) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Isnin. Foto: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

PUTRAJAYA - Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz berharap keputusan tiga hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan di sini berpihak kepada anaknya.

Sharifah Mahani yang tiba di kompleks mahkamah beberapa minit selepas tunang Syed Saddiq iaitu Bella Astillah kelihatan tenang ketika didekati petugas media.

"Mudah-mudahan ALLAH SWT membantu dia (Syed Saddiq) dengan memberi kemenangan pada hari ini," katanya ringkas ketika ditemui di sini pada Isnin.

Selepas tertangguh selama dua minggu, Syed Saddiq akhirnya bakal mengetahui nasib rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasannya di Mahkamah Persekutuan, di sini.

Ia membabitkan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada Bersatu pada 2018 dan 2020.

Keputusan mahkamah tertinggi negara itu bukan sahaja menentukan sama ada ahli politik berusia 34 tahun itu kekal bebas sebagai Ahli Parlimen Muar atau kembali berdepan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Ia sekali gus menjadi titik penting dalam perjalanan politik bekas Ketua Armada Bersatu berkenaan.

Sama ada diputuskan secara sebulat suara atau majoriti, keputusan panel tiga hakim itu bakal menoktahkan episod perundangan yang menjadi perhatian ramai sejak kes berkenaan bermula.

Penangguhan keputusan pada 30 Jun lalu berlaku selepas seorang daripada panel tiga hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali tidak dapat menghadiri prosiding kerana tidak sihat dan diberikan sijil cuti sakit selama dua hari.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!