'[VIDEO] Bella tetap bersama walaupun dalam tempoh saya masih pesalah' - Syed Saddiq

PUTRAJAYA - Ucapan penghargaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan terutamanya tunang, Bella Astillah mengundang sebak.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menyifatkan Bella sebagai wanita yang tetap setia mengharungi ujian bersama-sama meskipun ketika tempoh perkenalan, dirinya sudah pun berdepan kes mahkamah.
"Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga khususnya Mama dan Abuyah, saya fikir ramai tahu apa yang mereka lalui selama ini.
"Terima kasih juga kepada tunang saya, Bella yang setia bersama. Bukan mudah ya kerana sebelum dia bersama saya, saya merupakan salah seorang pesalah di mahkamah.
"Sumbangan dan jasa dia saya tak lupa," katanya ketika sidang media di Istana Kehakiman, di sini pada Isnin.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menambah, kedua ibu bapanya memberikan signal positif sebaik beliau melangkah keluar daripada bilik mahkamah, dalam konteks keizinan untuk melanjutkan perancangan mendirikan rumah tangga bersama Bella.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya enggan mengulas lanjut tentang perkara itu kerana ingin menghormati institusi kehakiman negara.
"Tetapi, boleh tanya (soal kahwin) di luar mahkamah kerana saya menghormati institusi kehakiman ini.
"Saya tak mahu keluarkan respons yang melibatkan perkara peribadi semata-mata cuma tadi dah dapat 'lampu hijau' daripada Mama dan Abuyah," ujarnya lega bercampur sebak.
Beliau dalam masa sama sempat menzahirkan ucapan terima kasih buat pasukan peguam diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan pengamal media yang sentiasa komited menyediakan liputan terperinci sepanjang enam tahun siasatan serta pendakwaan berlangsung.
Tambah Syed Saddiq, beliau berharap tiada mana-mana individu waima musuh politiknya sendiri yang melalui situasi sama sepertinya.
Ditanya tentang perancangan untuk mengadakan kenduri kesyukuran, beliau memaklumkan bakal berbuat demikian khususnya bagi meraikan penyokong serta rakyat Muar.
"Mungkin ada yang lupa sebelum saya dipilih sebagai ahli Parlimen bagi penggal yang kedua, seminggu hingga dua minggu tempoh mengundi di peringkat mahkamah tertinggi masa itu, saya didapati ada kes 'prima facie'.
"Tetapi, warga Muar tetap memberikan kepercayaan dan harapan kepada saya. Apabila saya dibebaskan di Mahkamah Rayuan, saya memang tak berhenti cari jalan untuk bela nasib mereka.
"Saya akan teruskan dan fikir apa jalan terbaik. Insya-ALLAH hujung minggu ini kerana sekarang masih berlangsung sidang Parlimen," jelasnya lagi.
Syed Saddiq, 34, dibebaskan atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menerusi keputusan majoriti 2-1, dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat, bekas Menteri Belia dan Sukan itu wajar dilepas dan dibebaskan.
Sementara Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel tiga hakim, menjadi satu-satunya hakim yang berpandangan berbeza apabila mendapati Syed Saddiq bersalah.
Keputusan majoriti berkenaan sekali gus menyaksikan rayuan akhir pendakwaan ditolak, selain membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
