Pembebasan Syed Saddiq: 'Tahniah bro, boleh pandang ke depan. Kami tunggulah kot-kot sampai kad'

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas keputusan akhir mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan.
Ahmad Fadhli berkata, beliau secara peribadi bersyukur dengan keputusan tersebut selain berpandangan tiada bukti menunjukkan berlaku penggunaan peribadi terhadap dana yang menjadi pertikaian dalam kes berkenaan.
"Tahniah bro YB Syed Saddiq. Secara peribadi, saya ucap syukur dengan keputusan akhir mahkamah ini.
"Jika diamati dari awal kes, tiada penggunaan peribadi yang boleh dibuktikan dalam dana yang dimaksudkan. Apa yang wujud ialah isu teknikal dan tadbir urus yang boleh jadi menimbulkan sedikit kekeliruan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Ketua Penerangan Pas itu turut menyifatkan keputusan itu memberi ruang kepada Syed Saddiq untuk melihat ke hadapan.
“Tahniah bro, boleh pandang ke depan. Kami tunggulah kot-kot sampai kad,” katanya.
Syed Saddiq kekal dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menerusi keputusan majoriti 2-1, dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat, bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berusia 34 tahun itu, wajar dilepas dan dibebaskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
