'Doakan undang-undang lindungi semua, sama ada kawan atau lawan' - Syed Saddiq

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta rakyat supaya tidak hanya mendoakan dirinya menjelang keputusan rayuan akhir kesnya di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, sebaliknya turut mendoakan agar sistem keadilan negara terus melindungi semua pihak.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, beliau berharap sistem keadilan negara terus ditegakkan berasaskan bukti dan undang-undang tanpa dipengaruhi kuasa, selain menyerahkan sepenuhnya keputusan kes yang dihadapinya kepada mahkamah.
“Kepada rakyat Muar dan seluruh Malaysia, jangan hanya doakan saya. Doakan Malaysia kekal sebagai negara di mana undang-undang melindungi semua, kawan atau lawan, yang berkuasa atau rakyat biasa.
“Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada ALLAH SWT. Kebenaran tidak perlukan kuasa untuk berdiri. Hasbunallah wa ni'mal wakil, kepada ALLAH saya berserah,” kata Syed Saddiq menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya pada Ahad.
Beliau berkata demikian menjelang keputusan rayuan akhir pendakwaan di Mahkamah Persekutuan esok bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan terhadapnya.
Hukuman itu membabitkan empat pertuduhan iaitu bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Pada 30 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir berkenaan selepas seorang anggota panel hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali tidak dapat menghadiri prosiding susulan sedang menjalani cuti sakit selama dua hari.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais berkata, panel hakim sebenarnya sudah bersedia untuk menyampaikan keputusan rayuan berkenaan, namun keadaan yang tidak dijangka itu menyebabkan keputusan tidak dapat diumumkan seperti dijadualkan.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan beliau tidak meminta simpati daripada mana-mana pihak, sebaliknya mahu rakyat melihat bagaimana seseorang perlu berpegang kepada prinsip apabila berdepan ujian.
“Sudah lebih enam tahun saya melalui proses ini, saya hadir setiap kali dipanggil, tiada penangguhan daripada saya, tiada jalan pintas dan tiada layanan istimewa.
“Saya memilih mahkamah kerana di negara yang kita cintai, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang bukan kuasa.
"Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara 3-0 membebaskan dan melepaskan saya. Esok (pula) Mahkamah Persekutuan akan memberikan keputusan muktamad,” ujarnya.
Beliau berkata, walau apa juga keputusan Mahkamah Persekutuan, beliau tidak menyesal mempertahankan prinsip dan pendirian moralnya.
"Saya tidak akan mendahului mahkamah, saya hormati prosesnya, saya akan hadir dengan tenang. Apapun yang berlaku esok, saya tidak menyesal mempertahankan prinsip dan kebijaksanaan moral saya walaupun ada akibatnya.
“Kerana kepimpinan tidak diuji ketika semuanya mudah, ia diuji ketika masa depan dan kebebasan kita dipertaruhkan. Namun kita masih memilih jalan yang benar, bukan dendam,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

