Bila 'YB Hollywood' lebih perform, lebih gentleman

ADA orang sinis memanggilnya 'YB Hollywood'. Kononnya terlalu banyak berlakon, terlalu rajin mencipta kandungan media sosial, terlalu kerap muncul bersama selebriti, namun Merak Jalanan melihat satu perkara yang menarik.
Kalau benar itu sekadar 'lakonan', pelik juga apabila 'drama' itu berjaya mengutip dana ratusan ribu ringgit untuk rakyat di kawasan Parlimennya. Ertinya, ada hasil yang boleh diukur, bukan sekadar tepukan di pentas politik.
Dalam politik hari ini, mungkin lebih baik seorang wakil rakyat 'berlakon' di TikTok, Instagram atau YouTube untuk mencari dana kebajikan.
Ini lebih mulia daripada berlakon setia kepada parti pada waktu siang, kemudian melompat mencari talian hayat politik apabila matahari terbenam.
Lebih menghairankan, ada ahli politik yang suatu ketika dahulu lantang bercakap tentang prinsip, tetapi apabila berdepan tekanan atau kes mahkamah, prinsip itulah yang mula dijual murah.
Ada yang sanggup ubah pendirian, bertukar kem, malah menggadaikan mandat rakyat atas nama 'demi kestabilan'.
Syed Saddiq pula memilih jalan berbeza. Sama ada orang suka atau tidak dengan pendekatannya, beliau kekal menghadapi proses mahkamah tanpa menggunakan kuasa politik sebagai jalan pintas. Beliau mempertahankan dirinya melalui saluran undang-undang sehingga ke peringkat tertinggi.
Namun, jika mahu membuat perbandingan, rakyat tentu lebih mudah menilai siapa lebih perform dan siapa lebih gentleman.
Hakikatnya, rakyat hari ini bukan lagi mudah terpesona dengan lakonan di pentas politik. Mereka lebih menghargai hasil kerja yang nyata daripada skrip yang hanya muncul setiap kali musim mengundi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
