Operasi rahsia KTV di parkir residensi saji GRO digempur

KUALA LUMPUR - Pusat karaoke KTV eksklusif yang menyajikan gadis pelayan pelanggan (GRO) dan beroperasi di bahagian parkir bawah tanah sebuah residensi mewah di Taman Leng Seng di sini dengan lengkap pintu keselamatan digempur pada Sabtu.
Op Gegar kira-kira jam 1 pagi itu digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil maklumat dan risikan.
Difahamkan, KTV tidak berlesen itu lengkap dengan tiga pintu besi tebal selain dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap pintu masuk.
Bahkan, kelab eksklusif berkenaan hanya membenarkan pelanggan tetap untuk masuk berhibur bagi menyukarkan kegiatan terbabit dikesan pihak berkuasa.
Tinjauan di lokasi mendapati premis itu mempunyai lebih 10 bilik yang beroperasi selain terdapat beberapa pintu belakang yang dipercayai dijadikan laluan tikus sekiranya berlaku serbuan.
Seorang wanita tempatan berusia 50-an disyaki sebagai ‘mummy' bagaimanapun tidak mengaku terbabit kegiatan menguruskan GRO terbabit.
“Bukan saya yang bawa, mereka (GRO) datang sendiri, mungkin datang dengan teman lelaki," katanya.

Bagaimanapun beberapa pelanggan yang ditemui menafikan gadis-gadis di dalam bilik KTV datang bersama mereka dan rata-rata mendakwa GRO warga asing terbabit disediakan pihak premis.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, hasil siasatan awal pihaknya percaya premis itu mengenakan caj mencecah RM1,300 bagi tempoh enam jam merangkumi bilik, minuman keras dan pelayan.
“Berdasarkan siasatan awal kami percaya wanita warga asing ini bekerja secara sukarela sebagai GRO di premis ini.
"Kita percaya premis ini baru beroperasi kira-kira dua bulan,” katanya selepas operasi di sini pada Sabtu.
Menurutnya, seramai 52 individu ditahan membabitkan empat warga tempatan antaranya tiga lelaki berperanan sebagai penjaga dan pengurus premis serta seorang wanita disyaki menguruskan GRO terbabit.
"Warga asing ditahan membabitkan wanita disyaki GRO terdiri daripada 33 warga Vietnam, Thailand (satu) dan selebihnya pekerja lelaki iaitu 10 warga Bangladesh, Myanmar (empat), dan China seorang.
"Notis saman saksi turut dikeluarkan kepada 19 pengunjung warga tempatan," katanya.
Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
