Pengusaha pusat karaoke 'RM1 satu lagu' ditahan

Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 35 tahun.
Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 35 tahun.
A
A
A

​BESUT - Tindakan seorang lelaki menjalankan perniagaan pusat karaoke tanpa lesen mengundang padah apabila ditahan pihak polis dalam satu serbuan di Jerteh di sini pada Jumaat.

​Serbuan kira-kira jam 11 malam itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

​Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan hiburan yang sah.

​"Hasil siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak Mac 2025 dengan mengenakan bayaran RM1 bagi setiap lagu kepada pelanggan.

​"Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan hiburan di premis tersebut untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

​Mengulas lanjut, Mohd Rozaime berkata, suspek kini dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan siasatan dilengkapkan serta menunggu pengesahan status lesen daripada Majlis Daerah Besut (MDB).

​Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 Terengganu.

​"Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun.

​"Pihak polis ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen demi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kepatuhan undang-undang sentiasa terjaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, premis yang dijadikan pusat karaoke berkenaan terletak di dalam kebun dengan jarak kira-kira 150 meter daripada kawasan masjid.

Ringkasan AI

  • Lelaki ditahan kerana menjalankan pusat karaoke tanpa lesen di Jerteh.
  • Operasi premis bermula sejak Mac 2025 dengan caj RM1 setiap lagu.
  • Polis merampas pelbagai peralatan hiburan dari premis tersebut.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Terengganu 2002.
  • Suspek dilepas dengan jaminan polis sementara menunggu pengesahan lesen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!