Gerai lemang atas rizab jalan diroboh

Tindakan perobohan yang dilakukan di sebuah gerai lemang di atas tanah rizab jalan di Sungai Limau di sini pada Khamis.
Tindakan perobohan yang dilakukan di sebuah gerai lemang di atas tanah rizab jalan di Sungai Limau di sini pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BESAR – Sebuah gerai lemang di atas tanah rizab jalan di Sungai Limau di sini dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan pada Khamis.

Operasi itu membabitkan kerjasama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam (PDTSB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam bagi mengosongkan struktur yang dibina di atas tanah rizab jalan.

Yang Dipertua MDSB, Awaluddin Zakaria berkata, tindakan itu membabitkan sebuah gerai lemang yang ditinggalkan dengan struktur premis dirobohkan sebelum tapak dibersihkan.

"Notis arahan mengosongkan tapak telah dikeluarkan kepada pemilik gerai berkenaan pada 3 Mac lalu, namun tindakan penguatkuasaan terpaksa dilaksanakan selepas premis itu gagal dikosongkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Awaluddin berkata, sebuah lagi premis di lokasi itu yang menjalankan perniagaan buah-buahan diberi peluang terakhir sehingga 15 Ogos depan untuk mengosongkan premis.

Katanya, peniaga terbabit sebelum ini beberapa kali mengemukakan rayuan bagi mendapatkan lanjutan tempoh untuk berpindah ke tapak baharu.

"Permohonan pertama membolehkan peniaga itu terus berniaga selama dua minggu sehingga 2 April, sebelum satu lagi permohonan lanjutan dikemukakan pada 29 April bagi memberi ruang mencari lokasi perniagaan baharu.

"Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan Bilangan 5 Tahun 2026 yang bersidang pada 11 Mei lalu meluluskan lanjutan tempoh sehingga 31 Mei dengan syarat peniaga berpindah ke lokasi perniagaan di Tonggak 9 Sungai Besar," jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, selepas mengambil kira beberapa siri rayuan dan permohonan terkini, MDSB bersetuju memberikan lanjutan terakhir sehingga 15 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

"Tiada lagi pelanjutan tempoh akan diberikan selepas tarikh berkenaan.

"MDSB berharap semua pihak memberi kerjasama bagi memastikan tanah rizab jalan tidak lagi digunakan untuk mendirikan struktur atau menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran," tambah beliau.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!