Sindiket migran kaut ribuan ringgit terbongkar

KUALA LUMPUR – Seramai 35 individu termasuk tujuh tekong darat dan transporter tempatan diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam serbuan di Kampung Sungai Air Tawar di Sabak Bernam pada Rabu.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, serbuan Op Taring Nyah 1 dijalankan kira-kira jam 5 pagi.
"Tujuh lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat dan transporter serta 28 warga Indonesia terdiri daripada 24 lelaki dan empat wanita yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan dalam serbuan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.
Hakemal berkata, sindiket menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap individu.
"Kesemua individu yang ditahan. Turut dirampas ialah tujuh kenderaan pelbagai jenis melibatkan enam kereta dan sebuah motosikal selain tujuh unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan migran," katanya.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM360,000.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Hakemal berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu, Task Force Briged Tengah PGA telah melaksanakan 11 serbuan membabitkan 22 kes dengan tangkapan seramai 247 individu.
"Daripada jumlah itu, 32 individu dikenal pasti sebagai tekong darat, tekong laut dan transporter, manakala selebihnya merupakan PATI yang terdiri daripada 160 lelaki dewasa, 54 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
"Nilai keseluruhan rampasan melibatkan aset dan barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran dianggarkan berjumlah RM1.5 juta," katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, Briged Tengah PGA telah melaksanakan 187 serbuan di kawasan tanggungjawab meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
"Hasil operasi tersebut membawa kepada penahanan 662 individu dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM257 juta," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PGA akan terus memperhebatkan usaha penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
"Orang ramai diharap dapat menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan bagi memastikan negara tidak dicerobohi elemen yang menyalahi undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
