Isu bungkusan makanan tidak diagih akan diteliti

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Masalah serahan bungkusan bantuan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang masih tertangguh akan diselesaikan dengan kadar segera, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, pihaknya telahpun meminta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin untuk meneliti perkara itu.

Menurutnya, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, adalah penting untuk memastikan rakyat yang berdepan keperluan makanan mendesak dapat dibantu.

"Saya telahpun meminta Exco untuk melihat perkara ini, namun jika ada keperluan mendesak tanpa menunggu bantuan daripada JKM itu, Pejabat Daerah sendiri boleh salurkan bantuan dengan segera, tak ada masalah.

"Yang pentingnya di sini, tiada kalangan rakyat negeri ini sampai tahap tidak dapat makan sepanjang tempoh PKP ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa gambar tular menunjukkan ratusan bungkusan makanan bagi kawasan Parlimen Lumut yang ditempatkan di Dewan Badminton Pejabat Daerah Manjung.

Bungkusan berkenaan dikatakan telah diletakkan di situ sejak beberapa hari lalu, namun masih belum diagihkan kepada penerima dengan alasan tiada arahan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ciapan ADUN Pangkor, Datuk Ser Dr Zambry Abd Kadir di Twitter berhubung bungkusan bantuan JKM yang masih belum diagihkan.
Ciapan ADUN Pangkor, Datuk Ser Dr Zambry Abd Kadir di Twitter berhubung bungkusan bantuan JKM yang masih belum diagihkan.

Kerajaan Pusat melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini mengedarkan 1,000 bungkusan makanan bernilai RM100 setiap satu ke setiap kawasan Parlimen dan bercadang melantik Penyelaras Parlimen bagi tujuan agihan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, peralihan pentadbiran kerajaan di Perak menyebabkan timbul ketidakseragaman penyelaras bantuan di kawasan Parlimen itu.

"Saya kira ini yang menyebabkan pihak Persekutuan bercadang melantik Penyelaras Parlimen terlebih dahulu untuk membolehkan bantun berkenaan diselenggara sebaiknya," katanya.

Isu berkenaan turut menarik perhatian bekas Menteri Besar Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam Twitternya, beliau mempersoalkan keperluan lantikan penyelaras memandangkan bantuan telah sampai dan sedia untuk diagihkan.

Mac lalu, Perak meluluskan peruntukan khas RM720,000 bagi menyediakan kotak makanan mengandungi barangan keperluan asas untuk rakyat di negeri ini yang diagihkan melalui Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil.