Amanah besar urus dana awam

Jabatan Mufti Perlis gariskan beberapa langkah penting elak diri terjebak dosa besar seleweng

RAMAI orang 'gelap mata' apabila melihat duit yang banyak di hadapan mata menyebabkan mereka bertindak menyelewengkannya. Foto Canva
RAMAI orang 'gelap mata' apabila melihat duit yang banyak di hadapan mata menyebabkan mereka bertindak menyelewengkannya. Foto Canva
A
A
A

DANA awam merupakan harta milik umum yang diamanahkan kepada pihak tertentu untuk diuruskan bagi kepentingan masyarakat merangkumi hasil cukai, zakat, peruntukan kerajaan, sumbangan masyarakat serta dana kebajikan.

“Ia bukan milik peribadi pihak yang menguruskannya, sebaliknya merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT.

“Justeru, penyalahgunaan kuasa atau jawatan untuk kepentingan diri daripada dana awam termasuk pengkhianatan yang besar di sisi agama,” ujar khatib ketika menyampaikan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Mufti Perlis baru-baru ini.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan rasul serta janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal: 27)

Menurut Jabatan Mufti Perlis, ayat ini menjelaskan bahawa mengkhianati amanah merupakan perbuatan yang dilarang keras oleh ALLAH SWT.

“Amanah yang diberikan hendaklah ditunaikan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab.

“Seseorang yang mengkhianati amanah bukan sahaja merosakkan dirinya sendiri bahkan turut merosakkan kepercayaan masyarakat dan membawa kemudaratan kepada banyak pihak,” jelasnya.

Ujarnya, antara bentuk penyelewengan dana awam yang sering berlaku ialah rasuah, penyalahgunaan kuasa, tuntutan palsu, penggunaan wang organisasi untuk kepentingan peribadi, manipulasi dokumen kewangan dan pelbagai lagi bentuk lain.

Artikel Berkaitan:

DANA awam yang diuruskan merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar. Foto Canva
DANA awam yang diuruskan merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar. Foto Canva

Perbuatan ini bukan sahaja merupakan kesalahan di sisi undang-undang, bahkan ia ialah dosa besar di sisi ALLAH SWT berdasarkan ayat ke-161 surah Ali Imran:

“Dan sesiapa yang melakukan ghulul (pengkhianatan terhadap harta amanah), nescaya dia akan datang pada hari khiamat dengan membawa apa yang dikhianatinya itu. Kemudian setiap orang akan diberikan balasan yang sempurna terhadap apa yang telah diusahakannya dan mereka tidak dizalimi.” (Surah Ali Imran: 161)

Jelas khatib, ayat ini memberi ancaman yang sangat keras kepada mereka yang mengkhianati harta amanah.

“Pada hari kiamat nanti, pelaku penyelewengan akan datang membawa beban pengkhianatannya sebagai bukti kejahatan yang telah dilakukannya,” katanya.

Islam mengajarkan umatnya beberapa langkah penting untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam dosa besar penyelewangan dana awam, antaranya ialah:

1 - Memperkukuhkan sifat amanah serta rasa takut kepada ALLAH SWT

Setiap Muslim hendaklah sentiasa menyedari bahawa ALLAH SWT melihat segala perbuatannya sama ada secara terbuka atau tersembunyi.

SILAP langkah dalam menguruskan dana awam boleh menyebabkan dihukum. Foto Canva
SILAP langkah dalam menguruskan dana awam boleh menyebabkan dihukum. Foto Canva

2 - Sentiasa bersikap jujur dalam setiap urusan kewangan

Kejujuran merupakan benteng utama yang menghalang seseorang daripada penipuan dan penyelewengan. Seseorang yang membiasakan diri dengan kejujuran akan terhindar daripada penyelewengan dan pengkhianatan.

3 - Sentiasa mengingati hisab (perhitungan amal) dan balasan hari akhirat

Seseorang yang yakin bahawa setiap harta akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT akan lebih berhati-hati dalam menguruskan harta amanah. Tiada satu pun sumber dan perbelanjaan harta yang terlepas daripada hisab-NYA.

4 - Menolak rasuah dan segala bentuk sumber pendapatan yang haram

Penyelewengan dana awam sering bermula daripada rasuah dan sifat tamak terhadap harta dunia. Oleh itu, rasuah wajib dijauhi dalam semua bentuk sama ada memberi, menerima atau menjadi perantara kerana ia menjadi punca utama kerosakan pengurusan harta dan penyelewengan dana awam yang diamanahkan.

5 - Memastikan setiap pengurusan dan penggunaan dana awam dibuat dengan penuh teliti dan bertanggungjawab

Seseorang yang diberi amanah berkaitan harta awam hendaklah sentiasa menilai setiap keputusan dan tindakan agar tidak berlaku kesilapan atau penyalahgunaan.

ELAKKAN diri daripada terjebak dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Foto Canva
ELAKKAN diri daripada terjebak dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Foto Canva

Setiap tindakan berkaitan harta dan urusan awam berada dalam pengetahuan ALLAH. Maka pengurusan dana awam perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati agar tidak berlaku penyelewengan atau pengambilan yang tidak berhak.

Tanggungjawab berat

Menurut Jabatan Mufti Perlis, dana awam merupakan amanah besar dan tanggungjawab yang berat di sisi ALLAH SWT.

“Jika amanah dipelihara, turunlah keberkatan, pembangunan dapat dilaksanakan dan kebajikan rakyat dapat dipelihara. Sebaliknya jika amanah dikhianati, berlakulah kerosakan, hak rakyat terabai dan keberkatan akan hilang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dana awam bukan sahaja tertakluk kepada audit (pemeriksaan kewangan) dan pemantauan di dunia, bahkan akan diperhitungkan di hadapan ALLAH SWT pada hari kiamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!