Salam Baitullah cipta sejarah, dekat di hati masyarakat

Tontonan 19.4 juta musim ke-18, tertinggi pernah dicatatkan sejak diterbitkan RTM

PELBAGAI pihak tampil memberikan kerjasama dalam menjayakan Salam Baitullah musim ke-18.
PELBAGAI pihak tampil memberikan kerjasama dalam menjayakan Salam Baitullah musim ke-18.
A
A
A

PROGRAM kerohanian ikonik terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Salam Baitullah musim ke-18 mencipta sejarah baharu apabila mencatatkan 19.4 juta tontonan, angka yang tertinggi dicapai sepanjang penerbitannya.

Pencapaian luar biasa itu menjadi petunjuk jelas bahawa masyarakat masih dahagakan kandungan berteraskan spiritual, pengukuhan jiwa dan pengisian rohani yang dekat dengan kehidupan.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail menjelaskan, kejayaan tersebut menyuntik semangat baharu kepada seluruh pasukan penerbitan RTM khususnya saluran TV1 untuk membawa Salam Baitullah ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

“Saya sendiri terkejut apabila diumumkan 19.4 juta tontonan dengan televisyen kekal menjadi medium utama dengan merekodkan 16.2 juta tontotan dan selebihnya menerusi media sosial dan RTMKlik.

“Ia memberi gambaran kehendak dan keperluan masyarakat untuk mengisi jiwa. Dalam program ini kami menekankan tentang pemantapan kerohanian, bukan sahaja mengenai musim haji, bahkan nilai Islam keseluruhannya.

ASHWAD
ASHWAD

Salam Baitullah menonjolkan bukan sahaja perjalanan sebelum dan semasa ibadah haji dilaksanakan di Tanah Suci, bahkan turut dihidangkan pascahaji,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus selepas merasmikan Majlis Penutup Program Salam Baitullah musim ke-18 di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam baru-baru ini.

Cabaran hebat tarik anak muda

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kejayaan tontonan tertinggi sepanjang 18 musim itu memberi cabaran yang hebat buat pasukannya untuk berusaha lebih kreatif memandangkan Salam Baitullah turut ditonton anak-anak muda seperti Generasi Z (Gen Z).

“Lihat sahaja pemenang utama kuiz Salam Baitullah, beliau daripada kalangan Gen Z. Ini memberi gambaran tentang penglibatan Gen Z yang mempunyai minat dan ingin tahu yang sangat tinggi tentang ibadah, sejarah dan nilai-nilai Islam yang dihidangkan.

“Apa yang lebih penting kita mahukan program ini kekal relevan merentas generasi termasuk pendedahan kepada Generasi Alpha.

“Ini bukan lagi sekadar program bermusim tentang haji, ia sudah berkembang menjadi wadah yang menyentuh soal perjalanan jiwa, pembinaan nilai dan pengukuhan manusia dengan ALLAH SWT serta sesama insan,” katanya.

Tambahnya, dalam era kecerdasan buatan (AI) dan perkembangannya, beliau menegaskan nilai keinsanan akan menjadi semakin penting.

“Atas sebab inilah, program seperti Salam Baitullah perlu terus diperkasa sebagai medium yang menanam empati, ihsan dan kesedaran spiritual dalam masyarakat.

PENYANYI Lah Ahmad turut menyampaikan nyanyian merdunya.
PENYANYI Lah Ahmad turut menyampaikan nyanyian merdunya.

“Apa yang kita mahu tekankan ialah pembentukan jiwa yang baik dan nilai yang baik. Kandungan sebegini penting untuk memastikan teknologi tidak menghakis sisi kemanusiaan kita,” ujarnya.

Menurutnya, harapan terbesar RTM adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat melalui kandungan yang lebih berkualiti, segar dan memberi kesan mendalam kepada jiwa.

Baginya, kejayaan Salam Baitullah bukan sekadar soal angka tontonan, tetapi tentang bagaimana sebuah program mampu menyatukan rakyat melalui nilai spiritual yang universal iaitu merapatkan hubungan manusia dengan Tuhan dan sesama manusia.

Kejayaan suntik semangat penaja

Sementara itu, Penasihat Syariah Mardhiyyah Hotel & Suites, Ustaz Mohd Ihsan Fadhli Che Min menjelaskan, kejayaan program Salam Baitullah terbitan RTM turut menyuntik semangat buat pihaknya untuk meneruskan kerjasama pada masa akan datang.

USTAZ MOHD IHSAN FADHLI
USTAZ MOHD IHSAN FADHLI

“Ketika ramai yang menjangkakan industri televisyen akan terus merosot, rancangan Salam Baitullah tiba-tiba ‘meletup’ dengan meningkatnya jumlah tontonan hampir empat kali ganda kepada 19.4 juta.

“Ini menandakan program Islamik sebegini masih lagi kekal relevan dan Mardhiyyah Hotel & Suites akan terus ke hadapan bersama-sama dengan program seumpama ini selaras dengan matlamat penubuhan hotel ini,” jelasnya.

Ujarnya, jika masih diberi peluang pada tahun hadapan, pihaknya akan terus istiqamah bekerjasama Salam Baitullah untuk musim baharu.

“Semoga usaha kami menyokong program-program berbentuk Islamik dan kerohanian ini dapat memberi banyak manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!