Op Sekam: SPRM beku akaun syarikat RM3.4 juta

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank milik sebuah syarikat berjumlah kira-kira RM3.4 juta bagi membantu siasatan Op Sekam yang melibatkan permohonan pembiayaan modal kerja perdagangan bernilai RM20 juta menggunakan dokumen dipercayai palsu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, tindakan itu diambil susulan siasatan terhadap sebuah syarikat yang disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu kepada sebuah institusi kewangan bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan untuk urusan pembelian padi dan beras.
"Nilai pembekuan akaun bank milik syarikat adalah dianggarkan berjumlah RM3.4 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati urusan pembelian padi dan beras yang dikemukakan dalam dua permohonan pembiayaan itu dipercayai tidak pernah berlaku.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih diteruskan dengan SPRM sedang meneliti beberapa maklumat tambahan bagi melengkapkan siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Abdul Halim berkata, setakat ini seramai 10 individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan, manakala beberapa lagi saksi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Katanya, seperti operasi lain yang dijalankan SPRM, Op Sekam memberi tumpuan kepada dua aspek utama, iaitu mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah atau penyelewengan, selain meneliti aspek tatakelola yang membuka ruang berlakunya kesalahan.
Selasa lalu, SPRM menahan tiga individu, termasuk dua pengarah sebuah syarikat pengeluar dan pemproses padi serta beras kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan tersebut.
Menurut sumber, penahanan itu dibuat susulan siasatan terhadap permohonan Kemudahan Modal Kerja Perdagangan-I (Trade Working Capital Financing) yang dikemukakan kepada sebuah institusi kewangan pembangunan bagi tujuan pembelian padi dan beras.
Jelasnya lagi, seorang daripada suspek, lelaki berusia lingkungan 30-an yang bertugas sebagai pengurus operasi direman selama lima hari sehingga 11 Julai 2026 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

