Caruman LINDUNG 24 Jam PERKESO bukan lagi mandatori

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri memutuskan pelaksanaan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri membangkitkan maklum balas yang diterima berkaitan pelaksanaan caruman skim berkenaan.
Menurut beliau, kadar caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja yang sebelum ini ditetapkan bagi LINDUNG 24 Jam kini tidak lagi bersifat mandatori.
“Jemaah Menteri hari ini bersetuju supaya caruman tersebut dilaksanakan secara sukarela dan bukannya diwajibkan. Keputusan ini berkuat kuasa serta-merta.
“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan automatik bagi kemalangan bukan bencana kerja mulai 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, sebelum ini memaklumkan bahawa skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bertujuan memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Beliau berkata, skim itu dibiayai sepenuhnya menerusi caruman pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji sebanyak RM6,000.
Pada peringkat awal, kadar caruman ditetapkan pada 0.75 peratus daripada gaji bulanan, manakala majikan bertanggungjawab membuat potongan gaji pekerja serta menyalurkan bayaran caruman kepada PERKESO setiap bulan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
