49 aduan berkaitan durian, isu tanda harga dan timbang dikesan - KPDN

PEKAN – Sebanyak 49 aduan berkaitan penjualan durian diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga 30 Jun lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, aduan berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga, penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan serta penipuan gred durian.
"Di Pahang hanya satu kes direkodkan dalam tempoh sama melibatkan peniaga di Bera yang tidak mempamerkan tanda harga. Kes itu dikenakan tindakan kompaun secara terus dengan nilai sekitar RM300," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program 'Ride For Patuh' dan advokasi kepenggunaan bersama komuniti peringkat negeri Pahang di Masjid Kampung Padang Rumbia di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin.
Mengulas isu timbangan, Azman memberitahu, pihaknya menerima maklumat daripada pengguna yang mendakwa berat buah diterima tidak sama seperti jumlah yang dibeli.
Jelasnya, keadaan itu berkemungkinan berlaku apabila alat timbang yang digunakan tidak tepat atau tidak melalui proses penentusahan.
"Kadang-kadang timbangan tersebut tidak tepat kerana kebanyakan peniaga durian ini berniaga hanya apabila musim buah tiba dan mereka bukan seperti peniaga ayam yang berniaga setiap hari.
"Apabila hasil kebun ada, barulah mereka mula menjual durian sedangkan alat timbang yang digunakan mungkin telah lama tidak diperiksa," katanya.
Menurut Azman, peniaga perlu memastikan alat timbang diperiksa dan ditentusahkan terlebih dahulu sebelum digunakan dalam urusan jual beli.
"Kita ada beberapa syarikat yang diberi kebenaran oleh kerajaan untuk memeriksa alat tersebut sama ada tepat atau tidak. Jika tepat, barulah boleh digunakan untuk tujuan perdagangan," katanya.
Beliau berkata, penggunaan alat timbang yang tidak ditentusahkan bagi urusan perdagangan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 14 (6) Akta Timbang dan Sukat.
"Apabila kita buat program ini dan singgah di premis peniaga, kita akan nasihatkan mereka supaya membuat penentusahan serta memeriksa alat timbang dengan segera.
"Kadang-kadang peniaga tidak tahu dan menyangka alat tersebut masih dalam keadaan baik. sebab itu kita minta mereka mengujinya semula dan memberi peringatan kepada mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

