Guru, tiga pelajar terlibat nahas: Kemalangan luar jangka, prosedur semua dipatuhi - Exco Melaka

MELAKA - “Benda dah jadi, nak buat macam mana? Jadi yang perlu kita buat sekarang adalah memberikan rawatan terbaik kepada mereka yang terlibat.
Demikian kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berhubung insiden seorang guru bersama tiga pelajar sebuah sekolah menengah Masjid Tanah terlibat kemalangan di Solok Duku ketika dalam perjalanan pulang selepas menyertai kejohanan ping pong pada Rabu lalu.
Rahmad berkata, kesemua mereka yang terlibat kini menerima rawatan di Hospital Melaka dengan dua daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU), manakala dua lagi dirawat di zon kuning berada dalam keadaan stabil.
"Daripada dua mangsa di CCU itu, seorang telah sedar manakala seorang lagi masih ditidurkan bagi tujuan rawatan.
"Apa pun, pihak hospital sedang memberikan rawatan yang terbaik bagi memastikan keempat-empat mangsa ini pulih," katanya selepas mengadakan lawatan ke Hospital Melaka bagi meninjau keadaan mangsa pada Khamis.
Menurutnya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama kerajaan negeri turut menghulurkan sumbangan sagu hati sebanyak RM3,000 kepada setiap mangsa bagi membantu meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan.
Beliau berharap kesemua mangsa segera sembuh dan dapat kembali meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Dalam pada itu, Rahmad berkata, semakan yang dilakukan mendapati semua prosedur bagi membawa pelajar menyertai kejohanan berkenaan telah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak sekolah.
Menurutnya, setiap pelajar telah mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga sebelum menyertai program sukan tersebut.
"Daripada segi proses dan prosedur, semuanya telah dipatuhi termasuk mendapatkan persetujuan ibu bapa. Namun, kemalangan adalah sesuatu yang di luar jangkaan.
"Kita berharap selepas ini semua guru pengiring akan terus meningkatkan tahap berhati-hati ketika memandu, lebih-lebih lagi apabila membawa pelajar menggunakan jalan raya," katanya.
Mengenai prosedur guru pengiring membawa pelajar beliau berkata, pihak sekolah sentiasa mematuhi syarat keselamatan termasuk memastikan jumlah penumpang tidak melebihi kapasiti kenderaan yang dibenarkan.
"Kalau kenderaan itu hanya boleh membawa empat orang, maka kita bawa mengikut kapasiti yang dibenarkan. Dari sudut pematuhan, memang tiada pelanggaran prosedur.
"Saya juga telah bertemu ibu bapa dan keluarga mangsa. Alhamdulillah, mereka menerima dengan reda apa yang berlaku dan tidak menyalahkan mana-mana pihak atas insiden ini," katanya.
Pada Rabu Sinar Harian melaporkan seorang guru dan tiga pelajar sekolah menengah cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.24 petang itu, guru pengiring berusia 24 tahun dan seorang pelajar berusia 16 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah selepas tersepit di dalam kereta Proton Saga.
Sementara itu, dua lagi pelajar berusia 15 dan 16 tahun masing-masing mengalami patah kaki dan kecederaan akibat hentakan dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

