Kerana kesian, ramai penduduk pinjamkan motosikal kepada Rohingya

Mohd Misuari (kiri) memeriksa kenderaan pada Ops PeWA dan Ops Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di SPK JPJ Laloh, Kuala Krai pada Khamis.
Mohd Misuari (kiri) memeriksa kenderaan pada Ops PeWA dan Ops Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di SPK JPJ Laloh, Kuala Krai pada Khamis.
A
A
A

KUALA KRAI - Kesian menjadi alasan utama penduduk tempatan memberi pinjam kenderaan terutama motosikal kepada etnik Rohingya di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, selain itu mereka juga menyewakan motosikal atau kereta pada kadar RM500 sebulan kepada golongan berkenaan meskipun perbuatan itu menyalahi undang-undang.

"Ada pemilik kenderaan mendakwa mereka hanya mahu membantu pekerja warga asing itu mendapatkan makanan, berulang-alik ke tempat kerja atau pulang ke rumah.

"Selain kesian sebab lain ialah sewaan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu, beliau hadir pada Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) dan Ops Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguat kuasa (SPK) JPJ Laloh di sini.

Menurut beliau, ada juga kes etnik Rohingya yang sengaja menggunakan nama warga tempatan untuk memiliki dan menggunakan kenderaan sepenuhnya.

Ujarnya, statistik JPJ menunjukkan etnik Rohingya merupakan warga asing paling ramai dikesan menggunakan kenderaan milik warga tempatan di Kelantan.

Tambah beliau, kebanyakan kes melibatkan motosikal, namun terdapat juga penggunaan kereta sedan.

"Majoriti mereka bekerja dan menggunakan motosikal yang dipinjamkan majikan atau individu tempatan untuk berulang-alik. Mereka lebih kepada keperluan kelangsungan hidup, bukannya gaya hidup mewah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Misuari memberitahu, pemilik kenderaan yang didapati membenarkan warga asing memandu kenderaan mereka akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Ujarnya, pemilik akan dipanggil untuk siasatan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 23(2).

Menurut beliau, sejak 2023 hingga kini seramai 34 warga tempatan telah didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan dengan jumlah denda keseluruhan mencecah RM34,000.

Katanya, JPJ Kelantan juga konsisten menjalankan operasi sepanjang tahun bagi membendung kesalahan itu, termasuk operasi seawal jam 7 pagi yang pernah menyaksikan sehingga 20 motosikal disita dalam sehari.

"Kes berulang semakin berkurangan kerana tindakan sitaan yang dilaksanakan, namun masih banyak kes baharu melibatkan warga asing yang baru datang bekerja.

"Majoriti warga Rohingya yang ditahan mempunyai kad UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian)," katanya.

Namun beliau memberitahu, pemegang kad itu tetap tidak dibenarkan memandu kenderaan.

Mohd Misuari berkata, pihaknya akan menyita kenderaan, mengesan pemilik dan mengeluarkan notis untuk tindakan lanjut sebelum pendakwaan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Mohd Misuari berkata, bermula Januari hingga Jun lalu sebanyak 188 buah kenderaan telah diambil tindakan menerusi Ops PeWA.

Ujar beliau, daripada jumlah itu 176 buah sudah disita.

"Sebanyak 749 notis saman telah dikeluarkan," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!