Hanya tiga daerah di Semenanjung bebas Covid-19

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas seminggu Semenanjung mengekalkan empat daerah bebas Covid-19 namun kini bilangan tersebut hanya tinggal tiga apabila Kampar, Perak menjadi daerah terbaru dijangkiti wabak tersebut.

Ia menjadikan hanya Machang, Yan dan Hulu Terengganu kekal sebagai zon hijau di Semenanjung.

Menerusi data yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan bertarikh 12 April, Kampar merekodkan dua kes positif.

Bagaimanapun lapan daripada 11 daerah negeri itu masih berada di bawah kategori zon kuning dengan bilangan positif satu hingga 20 kes.

No Image Caption

Kinta (93 kes) dan Hilir Perak (64 kes) masing-masing masih diisytiharkan sebagai zon merah manakala Manjung diletakkan dibawah zon jingga selepas merekodkan peningkatan kepada 22 kes.

Lembah Pantai masih merekodkan daerah tertinggi dengan 496 kes positif Covid-19 namun Selangor mencatatkan negeri tertinggal bilangan positif iaitu 1,236 kes.

Kepulauan Borneo masih mengekalkan tiga daerah zon merah iaitu Kuching dan Kota Samarahan, Sarawak serta Tawau Sabah.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 12 daerah di Sarawak diletakkan di bawah kategori zon kuning selepas merekodkan satu hingga 20 kes manakala sebanyak 17 daerah yang sebahagian besarnya di pedalaman masih bebas daripada jangkitan Covid-19.

Di Sabah pula, lapan daripada 25 daerah bebas wabak berkenaan dan selebihnya diletakkan di bawah zon kuning.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, 4,683 kes positif direkodkan di seluruh Malaysia manakala daripada jumlah itu, 2,108 telah pulih.