X

Kindly register in order to view this article
!

Menyamar ADUN Sabak tempah biskut raya RM15,000

Ahmad Mustain (kiri) dan pengusaha biskut raya membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam, semalam.
A
A

SABAK BERNAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman menjadi mangsa 'scammer' apabila gambar dan namanya digunakan untuk membuat tempahan biskut raya sebanyak 1,500 balang bernilai RM15,000.

Ahmad Mustain berkata, beliau menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pegawai khasnya pada jam 8 malam semalam.

Menurutnya, beberapa jam kemudian beliau berjumpa dengan pengusaha biskut raya terbabit bagi mengetahui maklumat lanjut.

"Pengusaha memaklumkan ada individu mengaku sebagai ADUN Sabak menempah biskut raya secara borong untuk diagih kepada rumah penduduk miskin semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Mustain berkata, pengusaha biskut itu turut memberitahu gambar dan nama beliau digunakan individu yang menyamar kononnya ingin meminjam wang sebanyak RM1,000 bagi pembayaran ansuran kereta anak saudara kepada institusi kewangan.

"Pengusaha sama telah memasukkan wang seperti yang diminta ke penama seorang lelaki yang tidak dikenali," katanya.

Katanya, kejadian penipuan menggunakan gambar dan nama beliau ialah kali kedua berlaku selepas 25 Mac lalu apabila ada individu menggunakan gambar dan namanya yang konon meminta bantuan kewangan sebuah masjid bagi membantu seorang ibu tunggal.

Beliau menegaskan, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan gambar dan namanya untuk kegiatan itu mencemarkan imej beliau sebagai pemimpin.

"Saya ambil serius perkara ini dan meminta pihak yang menyamar disiasat dan dikenakan tindakan tegas," katanya.

Justeru, katanya, dia bersama pengusaha biskut raya membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam pada jam 10.20 malam tadi.

"Saya berharap orang ramai tidak lagi tertipu dengan individu berkenaan lebih-lebih lagi telefon yang digunakan itu juga bukan milik saya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!