Menyamar anggota polis, tiga lelaki diberkas samun warga Bangladesh

IPOH - Tiga lelaki ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis sebelum terlibat dalam kes samun terhadap seorang lelaki warga Bangladesh di Pantai Remis, Manjung, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 45 tahun dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail oleh dua suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa turut digari sebelum beg miliknya dirampas dan wang tunai berjumlah RM8,000 dilarikan suspek.
“Suspek turut mengugut mangsa kononnya akan dibawa ke Balai Polis Pantai Remis untuk pemeriksaan lanjut.
“Namun, mangsa mula mengesyaki dirinya disamun apabila kenderaan yang dinaikinya tidak menuju ke balai polis, sebaliknya menghala ke jalan lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya bertindak berani dengan memulas stereng kenderaan tersebut sehingga terbabas ke tepi jalan di Batu 12, Segari, Lumut.
Katanya, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 40-an bagaimanapun melarikan diri dengan membawa wang tunai milik mangsa selepas menahan sebuah motosikal yang dipercayai ditunggangi rakan mereka yang melalui kawasan tersebut.
“Bertindak atas maklumat, pada hari sama kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Balai Polis Pantai Remis dan Balai Polis Segari berjaya menahan tiga lelaki berkenaan di Jalan Besar, Gunung Tunggal, Changkat Keruing.
“Turut dirampas sebuah Nissan X-Trail, beberapa telefon bimbit, kad ATM, wang tunai, gari, kad kuasa polis bantuan serta pelbagai barangan lain,” katanya.
Mohd Alwi berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, curi, curi kenderaan, menyebabkan kecederaan, ugutan dan kesalahan berkaitan dadah.
Tambahnya, salah seorang suspek juga didapati pernah berkhidmat sebagai polis bantuan, dipercayai menjadi punca dia memiliki gari dan kad kuasa polis.
“Perintah tahanan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tujuh hari bermula 3 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan tersebut turut terlibat dalam beberapa kes samun lain dengan modus operandi yang sama di daerah atau kontinjen lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Munawwarah Ahmad di talian 011-16240391 atau bilik gerakan IPD Manjung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

