Belum ada rakyat baru pulang luar negara positif Covid-19

Setakat ini belum ada rakyat Malaysia yang dikenakan kuarantin wajib didapati positif wabak koronavirus. - Foto Bernama
Setakat ini belum ada rakyat Malaysia yang dikenakan kuarantin wajib didapati positif wabak koronavirus. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan setakat ini belum ada rakyat Malaysia yang dikenakan kuarantin wajib didapati positif wabak koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menjelaskan pihaknya perlu menunggu selama 14 hari sebelum keputusan sebenar diperoleh.

"Setakat ini belum ada kes-kes yang didapati positif tetapi memang ada 12,000 orang yang sedang kita kuarantinkan sama ada di hotel dan pusat kuarantin institut latihan awam.

"Tetapi kita kena menunggu selama 14 hari dan kita akan melaksanakan ujian pada hari ke-13," katanya pada sidang akhbar di KKM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan laporan mengatakan bahawa ketika ini terdapat kira-kira 12,000 rakyat Malaysia yang ditempatkan di pusat kuarantin di seluruh negara.

Terdahulu, kerajaan telah memutuskan semua rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara perlu dikuarantinkan selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan berkuat kuasa 3 April lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak penularan wabak Covid-19 melibatkan kes import di negara ini.

Artikel Berkaitan: