Pemadam jahit 1,000 PPE untuk petugas HKL

Seramai 40 tenaga kerja mahir yang merupakan ahli Wanita Pemadam terlibat menyediakan 1,000 PPE untuk kegunaan petugas HKL
Seramai 40 tenaga kerja mahir yang merupakan ahli Wanita Pemadam terlibat menyediakan 1,000 PPE untuk kegunaan petugas HKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekatan agihan bantuan secara terus daripada badan bukan kerajaan (NGO) tidak menghalang Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan untuk terus berbakti demi petugas barisan hadapan dengan menawarkan bantuan menjahit peralatan perlindungan diri (PPE).

Timbalan Yang Dipertua Pemadam, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjahit sebanyak 1,000 PPE bagi kegunaan petugas Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, seramai 40 tenaga kerja terdiri daripada tukang jahit dan tukang gunting adalah ahli Wanita Pemadam yang mahir menjahit melalui Pusat Latihan dan Kraftangan Epal (Pusat Epal) dalam projek LA21 sejak 2015 lagi.

"Setelah kerajaan tetapkan NGO tak boleh serah bantuan sendiri, kami membuat keputusan membantu HKL menyediakan PPE yang memang diperlukan kerana ia adalah pakai buang.

"HKL telah menyediakan bahan untuk PPE manakala Pemadam membeli benang, getah dah 'velcro tape' dengan kos RM600," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Pemadam yang turut dihadiri Pegerusi Biro Wanita dan Penawar Pemadam, Datuk Jamilah Abu Bakar.

Mohd Suhaimi berkata, inisiatif tersebut kesinambungan Program Baktimu Dihargai, Kami Prihatin 2020 yang digerakkan Biro Wanita, Keluarga & Penawar Pemadam Kebangsaan bersama Biro Wanita Pemadam Kepong dan Pemadam Kuala Lumpur sejak 19 hingga 31 Mac lalu.

"Ini cara kami menjalankan tanggungjawab membantu beban rakyat dan kerajaan menangani krisis wabak Covid-19.

"Terima kasih kepada Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray kerana memberi kepercayaan dan sudi bekerjasama dengan Pemadam serta Biro Wanita Pemadam yang terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan: