Penghantar surat tidak mengaku pulang dari luar negara didakwa

Seorang penghantar surat dikenakan hukuman khidmat masyarakat kerana gagal mematuhi permintaan pegawai terbabit untuk membekalkan maklumat berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.
Seorang penghantar surat dikenakan hukuman khidmat masyarakat kerana gagal mematuhi permintaan pegawai terbabit untuk membekalkan maklumat berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang penghantar surat menjadi individu pertama di negara ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menyembunyikan maklumat kepada petugas kesihatan koronavirus (Covid-19).

Tertuduh, 31, mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Saringan Covid-19 Nombor 1 Klinik Kesihatan Daerah Pendang kira-kira jam 12 tengah hari pada 26 Mac lepas.

Tertuduh yang tinggal di Johor dan bekerja di sebuah syarikat di Singapura pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Mat Insun, Pendang ketika tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) fasa 1 tidak membuat pengakuan baru pulang dari luar negara.

Tertuduh didakwa gagal mematuhi permintaan pegawai kesihatan terbabit untuk membekalkan maklumat berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Tertuduh didakwa gagal mematuhi Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No 1) 2020.

Terdahulu, suspek memohon kepada majistret untuk dikenakan hukuman denda atas kesalahan dilakukannya.

Bagaimanapun, majistret memberi dua pilihan hukuman, iaitu penjara tiga bulan ataupun menjalani khidmat masyarakat kerana menyembunyikan maklumat itu.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh memilih hukuman khidmat masyarakat berkuat kuasa hari ini dengan purata tiga jam sehari dan perlu melaporkan diri di pejabat parol berdekatannya setiap hari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Dalilah Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Zuriyah Mhd Nordin.