Khidmat MPKK di Perak ditamatkan: Exco

 Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Perkhidmatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Perak akan ditamatkan berkuat kuasa pada 30 April depan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Exco pada Rabu lalu.

Menurutnya, pelantikan ketua kampung yang baharu dijangka akan dilaksanakan pada Jun depan bagi menggantikan Pengerusi MPKK sebelum ini.

"Kita telah bincangkan mengenainya pada Mesyuarat Exco pertama lalu dan ditetapkan bahawa perkhidmatan MPKK akan ditamatkan pada 30 April ini.

"Dari segi nama sama ada dikekalkan MPKK atau sebaliknya, semua bergantung kepada keputusan kerajaan Persekutuan," katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat penamatan pengerusi dan ahli jawatankuasa MPKK di Perak yang tular di media sosial.

Surat mengenai penamatan perkhidmatan MPKK di Perak yang tular di media sosial.
Surat mengenai penamatan perkhidmatan MPKK di Perak yang tular di media sosial.

Menerusi surat yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Nor Sham Rahman itu, semua Pegawai Daerah diarahkan untuk mengemukakan senarai calon baharu ketua kampung dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing, manakala emua penghulu mukim akan menjalankan tugas sementara ketua-ketua kampung sehingga pelantikan baharu selesai dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, penghulu mukim turut diarah menjalankan audit ke atas aset-aset dan peralatan milik MPKK termasuk dewan-dewan orang ramai serta merekod sebarang kehilangan aset-aset berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Chepor Dalam Seri Kelebang, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin memaklumkan, pihaknya telah pun mengetahui tentang perkara tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan yang dibuat oleh kerajaan dilihat seperti tergesa-gesa dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kebanyakan pengerusi MPKK tiada masalah mengenai penamatan khidmat tersebut tetapi bersimpati dengan rakyat di kawasan kampung.

"Dalam tempoh menunggu pelantikan ketua kampung baharu itu nanti, dibimbangi akan ada masalah untuk orang kampung berurusan dengan penghulu yang memangku tugas ketua-ketua kampung.

"Kebanyakan penghulu terlibat di Pusat Bencana Daerah dan sudah tentulah rakyat susah untuk mengadu masalah. Seharusnya pengerusi MPKK sedia ada dikekalkan sehingga lantikan baharu itu dibuat," katanya.

Ahmad Shafiq berkata, dia menerima keputusan kerajaan negeri itu dengan berlapang dada dan akan terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun tidak lagi menjadi pengerusi MPKK.