Pimpinan AS pada era Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SEJAK penularan virus Covid-19, masyarakat antarabangsa khasnya kuasa-kuasa besar memberi reaksi yang pelbagai.

Misalnya, China bertindak secara proaktif untuk memerangi penularan virus dengan menawarkan bantuan peralatan perubatan serta topeng muka kepada negara yang dalam keadaan kritikal seperti Itali, Perancis dan Jerman.

Negara-negara itu tidak bersedia berhadapan dengan pandemik Covid-19 kerana kekurangan peralatan perubatan serta kepakaran. Eropah Barat telah menjadi pusat penularan Covid-19.

Covid-19 adalah ancaman paling dahsyat yang melanda Eropah semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua kira-kira 75 tahun yang lalu. Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menjadi salah satu mangsa wabak penyakit Covid-19 dan kini sedang mendapat rawatan rapi.

Negara-negara Eropah tidak lagi berdaya untuk menghadapi pandemik Covid-19 secara bersendirian. Oleh demikian, mereka amat terdesak untuk mendapat bantuan antarabangsa. China dan Rusia menunjukkan sikap keprihatinan dengan menyalurkan bantuan ke Eropah.

Misalnya, Kementerian Pertahanan Rusia menyumbang 60 tan kargo bantuan perubatan yang diangkut melalui 15 penerbangan tentera udara Rusia termasuk 122 pakar penjagaan kesihatan, lapan pasukan doktor, satu set makmal serta 66 tentera radiologi, kimia dan biologi ke kawasan utara Itali yang masih serius menghadapi pandemik Covid-19.

Negara-negara Eropah Barat seperti Itali, Jerman dan Sepanyol yang menerima bantuan dari China dan Rusia merupakan anggota dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara atau North Atlantic Treaty Organisation (NATO) serta Kesatuan Eropah atau European Union (EU).

Selain itu mereka juga adalah sekutu Amerika Syarikat. Jika dibandingkan dengan China dan Rusia, AS lebih menumpukan perhatian kepada domestik membantu penduduknya yang turut menghidap penyakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Setakat semalam, dilaporkan seramai 501,615 penduduk AS dijangkiti dan seramai 18,777 orang meninggal dunia. Jumlah kematian dalam kalangan rakyat AS lebih tinggi daripada mereka yang terkorban semasa tragedi 9/11 serta 18 bulan konflik di Afghanistan.

Dijangkakan angka kematian di AS mungkin akan meningkat sehingga ke 200,000 menjelang bulan Ogos. Pentadbiran Presiden Donald Trump masih dalam kebimbangan bagaimana untuk berhadapan dengan penularan virus Covid-19.

Telah dilaporkan bahawa ada dalam kalangan pengusaha daripada AS telah merampas bekalan kesihatan seperti topeng muka dari China yang sepatutnya dihantar ke Jerman dan Perancis.

Sebanyak 200,000 topeng muka jenis N95 keluaran syarikat 3M yang beroperasi di China dialihkan ke AS semasa transit di lapangan kapal terbang Bangkok.

Destinasi asal topeng muka tersebut adalah Jerman untuk bekalan pekerja barisan hadapan yang sedang memerangi Covid-19. Kejadian itu menimbulkan kemarahan pemimpin Jerman.

Andreas Geisel, Menteri Dalam Negeri bagi Negeri Berlin menyifatkan tingkah lalu sedemikian sebagai 'an act of modern piracy' atau tindakan rompakan moden.

Media di Perancis pula menyifatkannya sebagai mask wars atau perang topeng. Walaupun AS telah menafikannya tetapi imejnya telah tercemar.

Sebaliknya China dan Rusia mengambil peluang ini untuk mempergiatkan bantuan mereka ke negara-negara Eropah Barat yang merupakan sekutu AS.

Seorang penyelidik di Pusat Gobalisasi dan China yang berpusat di Beijing, Andy Mok berkata, apabila pandemik Covid-19 berakhir hubungan Eropah dengan China yang sudah kuat sejak kebelakangan ini pasti akan menjadi lebih kukuh.

Pandemik Covid-19 merupakan suatu ujian kepada peranan AS dalam hubungan antarabangsa semenjak Perang Dunia Kedua khasnya kepimpinan Donald Trump yang mengamalkan dasar ‘America First’ dengan menyempitkan fokusnya kepada kesihatan serta krisis ekonomi domestik.

Ketika menghadapi krisis seperti penularan Covid-19 baru masyarakat antarabangsa mula sedar sejauh mana AS benar-benar mampu menjadi pemimpin atau big brother dan bukan sekadar retorik.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Anatarbangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.