Dua lelaki tunggu pelanggan ketum ditahan

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis menahan dua lelaki dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk mengedarkan bungkusan air ketum di tepi Jalan Pantai Bersih, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-duanya ditahan selepas didapati melepak di lokasi kejadian dalam Ops Covid-19 di sekitar daerah itu sebelum siasatan lanjut menemukan 28 bungkusan air ketum di dalam bonet kereta suspek.

"Kedua-dua lelaki terbabit bukan sahaja gagal memberikan alasan munasabah berikutan ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah mereka didapati mengedar air ketum," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam operasi sama, pihaknya turut menahan dua lelaki warga Myanmar dan dua perempuan Indonesia kerana berada di luar kediaman tanpa alasan munasabah.

Katanya, kesemua mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, selaras dengan arahan dikeluarkan mengenai tindakan mengeluarkan kompaun terhadap individu yang ingkar PKP, Noorzainy berkata, pihaknya mengeluarkan 22 kompaun semalam melibatkan 19 lelaki dan tiga wanita yang ditahan di beberapa lokasi berbeza antaranya di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Sungai Dua.

“Mereka yang didapati ingkar arahan PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran perlu diselesaikan di Pejabat Kementerian Kesihatan dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.

“Jika pesalah enggan membayar kompaun berkenaan, mereka boleh dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan,” katanya.

Artikel Berkaitan: