[VIDEO] 'Kalau Myanmar terima, saya mahu pulang' - Luah etnik Rohingya 15 tahun tinggal di Malaysia
ALOR SETAR – Selepas 15 tahun hidup sebagai pelarian di Malaysia, seorang etnik Rohingya dari Myanmar masih menyimpan harapan untuk kembali ke tanah airnya sekiranya keadaan di negara asal berubah dan komuniti itu diterima semula.
Soeyor, 32, yang kini menetap di Tongkang Yard di sini berkata, dia tidak pernah melupakan kampung halamannya meskipun sudah lebih sedekad membina kehidupan baharu di Malaysia bersama isteri dan tiga anaknya.
Menurutnya, keputusan meninggalkan Myanmar suatu ketika dahulu bukanlah pilihan yang mudah, sebaliknya dilakukan demi mencari perlindungan dan masa depan yang lebih selamat.
“Saya datang ke Malaysia dah 15 tahun. Saya datang dengan kapal dari Myanmar ke Thailand, kemudian jalan kaki masuk ke Malaysia.
“Saya memang mahu balik. Kalau kampung sudah aman dan mereka terima orang Rohingya, saya mahu pulang. Jika sekarang diterima, hari ini juga saya mahu balik,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, Soeyor berkata, keadaan semasa di Myanmar masih belum membolehkan hasrat tersebut direalisasikan.
Jelasnya, kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia manakala seorang abangnya kini menetap di sebuah kem pelarian di Bangladesh.
“Sekarang saya tak boleh balik sebab mereka tak suka dan tak terima orang Rohingya. Kalau mereka boleh terima kami, saya mahu balik.
“Saya tiada saudara-mara di sini. Hanya ada isteri dan anak-anak bersama saya di Malaysia,” ujarnya.
Berkongsi kehidupannya di Malaysia, dia berkata, keluarganya kini menjadi sumber kekuatannya untuk terus bertahan menjalani kehidupan sebagai pelarian.
Sebelum ini, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menganggarkan terdapat kira-kira 126,000 pelarian Rohingya berdaftar di Malaysia setakat Februari lalu.
Pada masa sama, Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir sebelum ini dilaporkan menganggarkan jumlah sebenar etnik Rohingya di negara ini melebihi 200,000 orang termasuk mereka yang tidak berdaftar.
Perkembangan itu menimbulkan pelbagai perdebatan mengenai kedudukan komuniti Rohingya di Malaysia, khususnya melibatkan aspek kemanusiaan, sosial dan masa depan generasi kedua yang dilahirkan di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

