Malaysia, Indonesia dan Thailand antara negara pilihan Rohingya

PADA Ogos 2017, serangan bersenjata, keganasan berskala besar dan pelanggaran hak asasi manusia yang serius telah memaksa ribuan orang Rohingya meninggalkan kampung halaman mereka di negeri Rakhine, Myanmar.
Ramai yang terpaksa berjalan selama beberapa hari merentasi hutan dan menempuh perjalanan laut yang berbahaya merentasi Teluk Bengal untuk mencari perlindungan di Bangladesh.
Kini, lebih daripada sejuta pelarian Rohingya telah mendapat perlindungan di Dhaka dengan majoritinya tinggal di Cox’s Bazar yang menempatkan kem pelarian terbesar di dunia dan kini dihuni lebih sejuta etnik tersebut.
Ketika itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggelar etnik Rohingya sebagai ‘minoriti yang paling teraniaya di dunia’ hingga penderitaan mereka mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Rohingya ialah kumpulan etnik minoriti Muslim selama berabad tinggal di Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha
Walaupun telah menetap di Yangon selama beberapa generasi, Rohingya tidak diiktiraf sebagai kumpulan etnik rasmi malah dinafikan hak kerakyatan sejak 1982, menjadikan mereka populasi tanpa kewarganegaraan terbesar di dunia.
Sebagai golongan yang tersisih, keluarga Rohingya dinafikan hak-hak asas dan perlindungan, serta sangat terdedah kepada eksploitasi, keganasan seksual berasaskan jantina serta pelbagai bentuk penderaan mental dan fizikal.

Selama beberapa dekad, etnik minoriti itu berdepan diskriminasi dan penganiayaan di Myanmar.
Penghijrahan terbesar mereka bermula pada Ogos 2017 selepas tercetusnya gelombang keganasan besar-besaran di negeri Rakhine yang memaksa lebih daripada 750,000 orang melarikan diri ke Bangladesh.
Seluruh perkampungan mereka dibakar, ribuan keluarga terbunuh atau terpisah dan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia dilaporkan berlaku.
Derita berlanjutan
Konflik berlarutan di Yangon mencetuskan gelombang pelarian termasuk lebih sejuta pelarian Rohingya tanpa kerakyatan yang berlindung di kem sesak di Kutupalong dan Nayapara di wilayah Cox’s Bazar. Lebih 75 peratus populasi pelarian tersebut terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Sejak 2021, pemerintah Bangladesh telah memindahkan hampir 30,000 pelarian Rohingya ke Pulau Bhasan Char bagi mengurangkan kesesakan di 33 kem pelarian di Cox’s Bazar.
Meskipun perkhidmatan perlindungan dan bantuan kemanusiaan di pulau itu telah dipertingkatkan, masih terdapat kekurangan dalam penyampaian perkhidmatan serta usaha memastikan bantuan penting dapat disalurkan secara berterusan.
Selain Dhaka, pelarian Rohingya juga telah mendapatkan perlindungan di negara-negara berhampiran seperti Malaysia, India dan beberapa negara lain di rantau Asia, sekali gus membentuk komuniti tersendiri dengan rangkaian sosial dan ekonomi bagi meneruskan kehidupan di tempat mereka menetap.
Bantuan kemanusiaan disifatkan amat penting kerana 95 peratus isi rumah Rohingya di Bangladesh bergantung penuh kepada sokongan disalurkan agensi antarabangsa.
Selain itu, lebih separuh daripada pelarian di kem-kem berkenaan berumur di bawah 18 tahun yang mempunyai akses terhad kepada pendidikan, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Walaupun hampir sedekad berlalu sejak krisis Rohingya memuncak pada 2017, penderitaan mereka masih belum berakhir.
Apa yang pada mulanya dianggap sebagai krisis kemanusiaan kini berkembang menjadi konflik berpanjangan tanpa penyelesaian yang jelas di samping menimbulkan cabaran sosial, ekonomi dan kemanusiaan kepada negara tuan rumah.
Info:
>Etnik Rohingya dianggap antara minoriti paling teraniaya di dunia kerana berdepan diskriminasi dan penafian hak kewarganegaraan di Myanmar.
>Istilah ‘Rohingya’ dipercayai berasal daripada perkataan yang merujuk kepada wilayah asal mereka di Rakhine (dahulu dikenali sebagai Arakan). Nama ‘Rohingya’ sendiri menjadi isu politik kerana tidak semua pihak di Yangon mengiktiraf penggunaan nama tersebut.
>Mereka mempunyai bahasa sendiri (Bahasa Rohingya) yang unik dan berbeza daripada bahasa utama di Myanmar.
>Walaupun berstatus pelarian, ramai Rohingya masih mempunyai identiti budaya kuat termasuk makanan, bahasa lisan dan tradisi keluarga.
>Krisis Rohingya sering digelar sebagai salah satu isu pelarian paling kompleks di Asia kerana melibatkan isu politik, etnik dan kewarganegaraan.
>Malaysia, Indonesia dan Thailand antara negara yang sering menjadi destinasi transit atau pilihan pelarian Rohingya melalui laluan laut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

