Pengampunan bersyarat Najib dibawa berdasarkan hak ikut perlembagaan - Anwar

Anwar menyampaikan ucapan pada Grand Finale Jelajah Harapan Melaka Rumah Kita di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, Bukit Baru pada Khamis. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Grand Finale Jelajah Harapan Melaka Rumah Kita di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, Bukit Baru pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa keputusannya membawa permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Lembaga Pengampunan pada 2023 adalah bagi memastikan hak perlembagaan setiap banduan untuk mengemukakan rayuan tidak dinafikan.

Beliau berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau tidak mahu dilihat menyekat hak mana-mana individu untuk mendapatkan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong melalui Lembaga Pengampunan, selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya, sebagai seorang ketua negara, Perdana Menteri, saya tidak sanggup dianggap menganiayai sesiapa dalam perlembagaan negara kita. Setiap banduan berhak mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan.

"Kalau saya tidak beri, saya nafikan hak dia. Hak apa? … hak untuk diberi pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan di bawah Duli Yang Maha Mulia (Seri Paduka Baginda) Yang di-Pertuan Agong. Maka, sebab itu saya ambil tindakan itu,” kata beliau.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian ketika berucap pada program Pesta Melaka Rumah Kita di Taman Perdana Melaka, di sini malam Khamis.

Anwar berkata, tindakan itu bukanlah khusus untuk Najib, sebaliknya kerajaan turut membenarkan permohonan pengampunan dikemukakan oleh banduan lain untuk dipertimbangkan mengikut proses yang ditetapkan.

"Sesiapa pun, beratus orang yang buat rayuan semua kita benarkan. Dia ada surat perubatan, surat daripada Jabatan Penjara dan surat kerana berkelakuan baik semua dikemukakan," kata beliau.

Mengulas lanjut tentang perintah tahanan rumah Najib, Anwar berkata, beliau telah menyuarakan pandangan bahawa masyarakat mungkin belum bersedia menerima keputusan sedemikian kerana kerajaan sedang berusaha memerangi rasuah dan tidak mahu timbul persepsi yang boleh menjejaskan usaha berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan memberikan tahanan rumah dibuat atas ihsan serta perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mempertimbangkan semua faktor, justeru kerajaan akur dengan keputusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kuasa Perdana Menteri bawa agenda itu. Yang ini, yang kawan-kawan kita maki saya pula … kita patuh, itu kuasa Agong, bukan kuasa Perdana Menteri," kata Anwar.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan Peguam Negara mendapatkan pengesahan daripada hakim yang membuat keputusan berhubung isu tahanan rumah itu merupakan sebahagian daripada proses yang perlu dilaksanakan, bukannya satu bentuk keingkaran terhadap titah diraja.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, perdebatan mengenai isu berkenaan tidak seharusnya mengalih perhatian golongan muda daripada prinsip menolak rasuah dan penyelewengan serta tanggungjawab membela nasib rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah. - Bernama 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!