Laut jadi ‘kubur tanpa tanda’ pelarian Rohingya

SURUHANJAYA Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendedahkan bahawa hampir 900 pelarian Rohingya dilaporkan maut atau hilang di Teluk Bengal dan Laut Andaman sepanjang 2025.
Laporan diterbitkan pada April lalu itu menyifatkan ia sebagai tahun paling maut yang pernah direkodkan bagi pergerakan migran melalui jalan laut di Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Ribuan lagi pelarian Rohingya dikatakan terus melakukan perjalanan berbahaya itu pada tahun ini.
Jurucakap UNHCR, Babar Baloch menggambarkan kawasan tersebut sebagai ‘kubur tanpa tanda’ bagi ribuan pelarian Rohingya yang terdesak.
Data diperoleh mereka juga menunjukkan kira-kira 5,000 orang dipercayai telah lemas di laut sejak sedekad yang lalu.
Kempen pembersihan etnik telah memaksa golongan itu melarikan diri dari Myanmar dan mencari perlindungan di Bangladesh yang masih membuka pintu kepada pelarian Rohingya.

Namun begitu, bantuan kemanusiaan kepada Dhaka telah dikurangkan akibat kekurangan dana.
Selain itu, akses kepada pendidikan dan peluang pekerjaan di kem-kem pelarian juga terhad menyebabkan ramai cuba sanggup menggadai nyawa menempuh perjalanan laut yang berbahaya untuk memulakan kehidupan baharu.
Lebih 2,800 etnik Rohingya telah meredah laut setakat ini dengan majoritinya berlepas dari Cox's Bazar atau negeri Rakhine dengan harapan untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.
“Kebanyakan daripada mereka mahu kembali ke Myanmar apabila keadaan mengizinkan. Tetapi, konflik yang berterusan, penganiayaan dan ketiadaan prospek kewarganegaraan menyebabkan mereka terpaksa melupakan hasrat tersebut,” jelas Baloch lagi.
Apa yang lebih membimbangkan adalah lebih separuh daripada mereka yang melakukan perjalanan laut itu terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Golongan itu berisiko tinggi menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
UNHCR berharap pendedahan angka korban yang membimbangkan itu dapat menyedarkan dunia tentang keperitan hidup yang dihadapi oleh komuniti Rohingya, sekali gus merangsang usaha mencari penyelesaian yang mampan agar tragedi kemanusiaan ini tidak terus berulang pada tahun-tahun mendatang.
Kekurangan dana berisiko parahkan krisis Rohingya
Pada awal bulan lalu, UNHCR memberi amaran tentang pemotongan dana kemanusiaan yang berisiko memberi impak besar kepada kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya di Bangladesh.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama rakan kongsi mereka berdepan kesukaran untuk meneruskan sokongan kepada salah satu populasi pelarian terbesar di dunia itu berikutan bajet penderma semakin terhad.
Tekanan terhadap usaha bantuan turut meningkat berikutan ketibaan kira-kira 150,000 lagi pelarian Muslim Rohingya sejak awal 2024 yang melarikan diri daripada keganasan yang kembali memuncak di Myanmar.
Pada masa sama, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah telah mengurangkan pembiayaan bagi bantuan antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagi mengatasi krisis itu, PBB bersama pemerintah Bangladesh melancarkan rayuan dana berjumlah AS$710.5 juta (RM2.8 bilion) pada bulan lalu.
Ia bagi membiayai keperluan makanan, tempat perlindungan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan perlindungan.
Rayuan berkenaan masih belum mendapat sambutan pembiayaan yang mencukupi apabila hanya sekitar 60 peratus daripada dana yang diperlukan berjaya dikumpulkan, meskipun sasarannya telah dikurangkan sebanyak 26 peratus berbanding tahun lalu.
Finland antara negara antarabangsa yang menyahut rayuan itu dengan mengumumkan bantuan baharu berjumlah kira-kira AS$2.23 juta (RM9.05 juta) bagi menyokong pelarian Rohingya yang berlindung di tenggara Bangladesh.
Walaupun bantuan kemanusiaan terus disalurkan, pelarian Rohingya di Bangladesh masih hidup dalam keadaan serba daif.
Kem-kem yang sesak dan tidak stabil itu berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca ekstrem, risiko penularan penyakit dan isu keselamatan di samping akses terhad kepada perkhidmatan asas yang penting.
Situasi berterusan itu dikhuatiri akan mewujudkan ‘generasi Rohingya yang hilang’ dengan peluang semakin terbatas untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

