Status pelarian bukan lesen langgar undang-undang Malaysia - KDN

Status pelarian tidak mengecualikan mana-mana individu daripada tertakluk kepada tindakan undang-undang di negara ini. Foto hiasan
Status pelarian tidak mengecualikan mana-mana individu daripada tertakluk kepada tindakan undang-undang di negara ini. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Status pelarian tidak mengecualikan mana-mana individu daripada tertakluk kepada tindakan undang-undang di negara ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan pada Sabtu menegaskan, pelarian melakukan kesalahan jenayah, mengancam keselamatan awam atau melanggar undang-undang Malaysia tetap tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan, pendakwaan dan proses perundangan yang berkuat kuasa.

“KDN memahami bahawa sebahagian besar kebimbangan rakyat ketika ini tertumpu kepada komuniti Rohingya yang merupakan antara kumpulan pelarian terbesar yang berada di Malaysia.

“Kementerian juga mengambil maklum bahawa terdapat kes-kes tertentu melibatkan individu daripada komuniti pelarian yang telah melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang negara sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Status pelarian bukan lesen untuk melanggar undang-undang Malaysia. Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen dan agensi-agensi penguatkuasaan lain akan terus mengambil tindakan terhadap mana- mana individu yang terlibat dalam aktiviti sebarang aktiviti jenayah,“ menurut KDN.

Mengulas lanjut, KDN menegaskan, isu pelarian dan kehadiran kumpulan berkenaan termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian bukanlah fenomena baharu di negara ini.

Sebaliknya, kementerian itu menjelaskan, ia merupakan isu legasi yang telah berlarutan selama berdekad dan merentasi pelbagai pentadbiran.

“Kerajaan Madani mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab, berstruktur dan berasaskan penyelesaian jangka panjang bagi mengurus isu legasi ini.

“Pendekatan yang diambil bukanlah untuk menggalakkan kemasukan pelarian atau memberikan mereka status baharu, sebaliknya untuk memastikan kerajaan mempunyai keupayaan yang lebih baik dalam mengurus realiti yang telah lama wujud dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan yang sama, KDN menegaskan pemberian akses kepada peluang pekerjaan sah kepada pelarian yang memenuhi syarat tertentu hendaklah dilaksanakan tertakluk kepada dasar dan kawalan ditetapkan oleh kerajaan.

Pendekatan itu katanya, bukan bertujuan menambah jumlah warga asing dalam pasaran pekerjaan negara, sebaliknya mengurangkan kebergantungan kepada kemasukan pekerja asing baharu serta memenuhi keperluan sektor tertentu yang berdepan kekurangan tenaga kerja.

“KDN juga ingin menegaskan bahawa sebarang akses pekerjaan yang diberikan akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang berdepan kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing.

“Keutamaan pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan terus dipelihara. Pada masa yang sama, mana-mana individu yang dibenarkan bekerja secara sah akan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang dan peraturan pekerjaan negara,” katanya.

Tambah kenyataan itu, peraturan tersebut termasuk pematuhan kepada kadar gaji minimum dan perlindungan pekerja yang berkuat kuasa.

Langkah tersebut kata KDN, penting bagi mengelakkan eksploitasi tenaga kerja serta memastikan persaingan yang adil dalam pasaran pekerjaan.

“KDN juga ingin menjelaskan bahawa sektor profesional dan pekerjaan berkemahiran tinggi kekal tertakluk kepada syarat, peraturan dan proses penilaian yang ketat oleh kementerian serta agensi kawal selia yang berkaitan,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!